Nur Izzati Izzah Nadzi


Pelabuhan Klang: Treler bermuatan gulungan kertas hampir musnah terbakar di Jalan Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Barat, 7.40 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada enjin sebelum merebak ke bahagian lain.

Menurutnya, kebakaran memusnahkan 90 peratus treler berkenaan termasuk gulungan kertas itu.

Katanya, treler itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Barat sebelum tiba-tiba terbakar.

"Pemandu menyedari asap keluar dari bahagian enjin sebelum ternampak percikan api.

"Dia kemudiannya memberhentikan kenderaan itu dan keluar menyelamatkan diri sebelum nenghubungi bomba," katanya.

Mohd Sani berkata, berlaku letupan tayar akibat kebakaran itu.

"Seramai 14 anggota diketuai Komander Operasi Asir Batam terbabit dalam operasi ini.

"Selain jentera, kami turut menggunakan tangki air untuk memadamkan kebakaran itu.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan kenderaan itu sudah ditarik ke lokasi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 11:29 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat  memadam kebakaran. FOTO Faiz Anuar
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran. FOTO Faiz Anuar
LORI kontena terbakar 90 peratus termasuk muatan gulungan kertas. FOTO ihsan Bomba
LORI kontena terbakar 90 peratus termasuk muatan gulungan kertas. FOTO ihsan Bomba