Ahmad Hasbi

Rembau: Sebuah treler dan empat kereta jenis Honda baharu terbakar di Kilometer 227.2 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bahagian hadapan treler yang membawa muatan enam kereta berkenaan sempat dialihkan dan kebakaran membabitkan bahagian belakang.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang cedera atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu.

"Kejadian kebakaran membabitkan 'carrier' iaitu treler jenis Scannia yang membawa muatan kenderaan dari arah selatan dan dalam perjalanan menghala ke Pulau Pinang.

"Treler yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami masalah brek. Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan bomba," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba memadamkan kebakaran dan berjaya mengelak api daripada merebak ke dua lagi kereta.

"Berlaku kesesakan sepanjang kira-kira 3 kilometer di lokasi kejadian. Pihak kami juga menutup semua lorong bagi tujuan penugasan bomba memadam api sehingga keadaan terkawal dan selamat.

"Pihak kami belum mendapat anggaran jumlah kerugian. Kes diambil alih oleh Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tindakan siasatan lanjut," katanya.

SEBUAH treler yang membawa muatan kereta jenis Honda terbakar di Kilometer 227.2 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah utara. FOTO Ihsan PDRM
SEBUAH treler yang membawa muatan kereta jenis Honda terbakar di Kilometer 227.2 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah utara. FOTO Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 8:49 PM