Abdul Aziz (tengah) menunjukkan pistol tiruan dan tabung derma yang dirampas. - Foto NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Abdul Aziz (tengah) menunjukkan pistol tiruan dan tabung derma yang dirampas. - Foto NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Polis menahan sembilan individu warga Thailand termasuk dua wanita kerana memiliki senjata api tiruan dan disyaki tidak memiliki permit untuk mengutip derma di perkarangan Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, di sini jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, pihaknya mendapat maklumat penjaga masjid berkenaan yang diugut salah seorang suspek menggunakan pistol selepas enggan membenarkan lelaki itu tinggal di masjid itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati terdapat sembilan suspek yang berusia lingkungan 14 hingga 50 tahun itu tidur di dalam masjid berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dua pisau di bahagian pinggang dua suspek lelaki dan empat pistol tiruan di dalam bonet kereta Toyota Vios serta kenderaan pacuan empat roda (4WD) Triton Mitsubshi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut merampas lima telefon bimbit, empat tabung derma, wang tunai sebanyak RM1,500, 123 peluru tiruan dan buku resit.

"Berdasarkan pengakuan suspek, mereka menjalankan aktiviti mengutip derma di sekitar Selangor dan membeli pistol tiruan di Bangi.

"Semua direman empat hari bermula hari ini hingga 9 Disember ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Sekyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1960 kerana memiliki senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 4:38 PM