Suspek menggunakan senjata penyembur serbuk cili untuk mencederakan dua mangsa.
Suspek menggunakan senjata penyembur serbuk cili untuk mencederakan dua mangsa.
Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lelaki bukan saja menimbulkan kekecohan malah turut bertindak menyembur serbuk lada terhadap pengawal keselamatan dan orang awam yang cuba menahannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jalan Pinang di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, mangsa yang juga penyelia keselamatan berusia 44 tahun cedera akibat diserang menggunakan penyembur lada.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuat rondaan di sekitar pusat itu sebelum bergegas ke salah sebuah dewan sejurus menerima laporan.

“Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan menyembur serbuk lada ke arah mangsa dan seorang pengunjung berusia 19 tahun ketika cuba didekati.

“Tindakan itu menyebabkan remaja terbabit mengalami kecederaan teruk sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Malah penyelia keselamatan terbabit turut cedera di muka akibat kejadian itu.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan sebelum dibawa ke bilik kawalan keselamatan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Suspek dikesan turut membawa kayu, besi, senjata ‘paint ball’, pisau dan penyembur lada. Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, Seksyen 351 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 10:27 PM