D‌inesh (kanan) pada majlis Perasmian Hari AIDS Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
D‌inesh (kanan) pada majlis Perasmian Hari AIDS Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini. Foto Mohd Amin Jalil
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Majlis AIDS Malaysia (MAM) akan terus bertindak proaktif bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha merealisasikan sasaran pengakhiran HIV/AIDS menjelang 2030.

Timbalan Presiden MAM, M Dinesh berkata, pihaknya sudah menyediakan hala tuju strategik bagi mengoptimumkan respons HIV di peringkat komuniti.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 13,212 ujian saringan HIV berorienstasikan komuniti dilaksanakan.

"Selain itu juga sebanyak 507 rujukan methadon dilaksanakan manakala sejumlah 781,073 jarum dan alat suntikan diedarkan bagi mengurangkan penularan HIV melalui perkongsian jarum suntikan.

"MAM berharap semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat dapat bersama-sama memainkan peranan menjayakan matlamat kerajaan mencapai sifar HIV/AIDS pada 2030," katanya pada majlis Perasmian Hari AIDS Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Dalam pada itu, Dinesh berkata, MAM mendapati kes jangkitan HIV tertinggi dalam kalangan masyarakat di negara ini adalah daripada kegiatan seksual diikuti penggunaan dadah secara suntikan (PWID).

Beliau berkata, berdasarkan laporan mendapati 96 peratus daripada keseluruhan 2,760 kes baru jangkitan HIV yang direkodkan pada tahun lalu adalah berpunca daripada kegiatan seksual.

Katanya, hanya tiga peratus berpunca daripada penggunaan dadah secara suntikan (PWID) dan baki satu peratus adalah melalui transmisi secara vertikal dan lain-lain.

"Apa yang membimbangkan ialah jangkitan HIV kini kebanyakannya menular dalam kalangan golongan orang muda di negara ini dengan 76 peratus membabitkan mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun.

"Empat peratus lagi jangkitan dikesan melalui perkongsian jarum suntikan dadah, satu peratus transmisi dari ibu kepada anak dan satu peratus lagi berikutan sebab-sebab lain.

"Oleh itu, kempen kesedaran di kalangan orang muda amat penting untuk

dilaksanakan terutamanya mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 10:10 PM