TEKUN mendengar penerangan mengenai penternakan ikan.
TEKUN mendengar penerangan mengenai penternakan ikan.
KETIKA di Kilim Geoforest Park.
KETIKA di Kilim Geoforest Park.

Raut wajah 13 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Desa (SKTD) tatkala dirakam di Langkawi, baru-baru ini menggambarkan keceriaan mereka ketika berada di pulau pelancongan itu.

Namun hakikatnya mereka bukan pelajar biasa, tetapi pelajar istimewa dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SKTD yang diberi peluang menjelajah pulau legenda itu menerusi Program Kembara Sosial yang diadakan dari 16 hingga 19 November lalu.

Penganjuran program seumpama itu sedikit sebanyak mengikis stigma pelajar daripada golongan istimewa seperti hiperaktif dan autisme ‘sukar dikawal’ apabila dibawa bercampur dengan masyarakat apatah lagi untuk tempoh yang agak lama.

Sepanjang program selama empat hari tiga malam itu, pelajar bukan saja dibawa ke tempat menarik tetapi mempraktikkan apa yang diajar di sekolah seperti pengurusan diri, interaksi dan disiplin.

Lebih menarik sebahagian besar daripada pelajar ini berjaya membuktikan mereka juga boleh ‘berdikari’ kerana mengikuti rombongan tanpa kehadiran ibu bapa yang memberi kepercayaan sepenuhnya kepada tujuh guru untuk mengendalikan 13 individu dengan karakter tersendiri sepanjang berada di sana.

“Program Kembara Sosial ini dianjurkan bertujuan memberi pendedahan kepada murid untuk hidup berdikari dan bersosial selain mengenal persekitaran serta memberi pengalaman baru kepada mereka,” kata Penyelaras Pendidikan Khas PPKI Syahida Mohamed Mokhtar.

“Secara tidak langsung mereka dapat merasai pengalaman berdikari dalam tempoh beberapa hari tanpa ibu bapa dan mengikut disiplin seperti murid arus perdana ketika mengikuti program lawatan,” katanya.

Mereka dibawa mengunjungi pelbagai tempat bersejarah dan menjadi tarikan pelancong antaranya Makam Mahsuri, Kilim Geoforest Park, Langkawi Wildlife Park, Sky Car Cable Langkawi, Underwater World dan mengikuti aktiviti ‘Island Hopping’.

Syahida mengakui cabaran membawa pelajar yang mempunyai pelbagai masalah pembelajaran memang ada ketika mengendalikan program seumpama itu tetapi semuanya ‘lenyap’ ditelan keseronokan pelajar mengikuti aktiviti biarpun jadual yang disusun agak padat.

“Cabaran memang ada kerana kami perlu mengendali murid yang mempunyai pelbagai masalah seperti autistik, hiperaktif dan masalah pembelajaran. Kami perlu menyiapkan mereka untuk menepati waktu apabila setiap guru ditugaskan memantau pergerakan murid,” katanya.

“Namun apa yang saya lihat sejak awal pagi semuanya memang teruja dan tiada masalah untuk mengumpulkan mereka. Mudah untuk bangun tidur cuma yang lucunya, mereka sukar tidur kerana seronok bersama rakan sekelas,” katanya.

Capai matlamat

Namun apa yang pasti, beliau gembira apabila melihat program itu menepati matlamat antaranya apabila melihat komunikasi dua hala di antara murid dan guru yang selama ini dipupuk di dalam kelas dapat dipraktikkan.

“Mereka banyak bertanya, ternyata semuanya memang teruja dan ingin tahu apa yang dilihat. Secara tidak langsung ia menggalakkan kepekaan dan pengetahuan mereka mengenai alam sekitar. Mereka dapat melihat gua kelawar, berpeluang memberi helang makan, melihat paya bakau dan meredah lautan ketika melakukan Island Hopping.

“Sebelum ini ramai beranggapan murid kelainan upaya sukar untuk dibawa berjalan hinggakan ada ibu bapa yang takut membenarkan mereka menyertai program di luar kelas tetapi menerusi program ini kami turut membawa pelajar berusia tujuh tahun yang belum begitu pandai menguruskan diri.

“Ini bermakna ibu bapa benar-benar bersikap terbuka untuk membenarkan mereka bersama guru. Ada di antara pelajar ini tidak tahu menguruskan diri sendiri dan di sinilah terbukanya peluang untuk mengajar mereka dalam suasana santai serta menyeronokkan,” kata Syahida.

Guru Besar SKTD Mazlan Bahari pula menyifatkan ia program yang baik untuk murid istimewa dengan memberi pendedahan kepada mereka.

“Apa yang penting apabila mengikuti program seperti ini, mereka dapat mengurus diri sendiri. Mereka bekerjasama dengan rakan, mengikut arahan guru berbanding di rumah apabila hampir semua perkara diuruskan ibu bapa,” katanya.

“Selain itu mereka dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dan yang paling penting mengikut disiplin.”

Mazlan berharap lebih banyak agensi dapat menghulurkan bantuan untuk program sebegini selain berharap lebih ramai akan menyertainya pada masa depan.

“Kita akan terus menganjurkan program mengikut kemampuan dengan kerjasama ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah dan semua pihak kerana program seperti ini memerlukan kos yang agak tinggi. Saya berharap lebih banyak agensi dapat membantu dan menyokong program sebegini supaya anak-anak ini dapat belajar kemahiran hidup yang sangat diperlukan,” sambungnya.

Sementara itu Asrul Iskandar, 40, bapa kepada Mohd Hanzalah, 7, yang mengikuti program ini berkata ia memberi manfaat kepada anaknya itu.

“Program ini memberi banyak pendedahan kepada anak saya, sesuai dengan keadaannya. Menerusi program ini, dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan yang lebih tua, belajar berdikari, mematuhi peraturan dan bersosial selain merapatkan hubungan ibu bapa dan guru,” katanya. - Nor Hairulnizam Wahid

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 5:38 AM