RANDIP  berinteraksi dengan muridnya di dalam kelas.
RANDIP berinteraksi dengan muridnya di dalam kelas.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu memberi impak besar terhadap kehidupan harian manusia.

Akibat wabak ini, rata-rata warga dunia terpaksa beralih kepada penggunaan elemen digital bagi memastikan kehidupan seharian terus relevan.

Kesan paling ketara turut dirasai institusi pendidikan di Malaysia apabila kerajaan mula mengetengahkan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan pelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Malah, ada segelintir pihak merasakan, pelaksanaan PdPR secara dalam talian kurang berkesan kerana tidak semua pihak mampu untuk menjayakan PdPR.

Ini kerana selain ibu bapa, guru dan murid juga tidak terkecuali mengalami tekanan dan cabaran untuk melaksanakan PdPR.

Bagaimanapun, apabila kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac lalu, ia dilihat mengembalikan semula kelegaan kepada ibu bapa, guru dan murid.

Bagi guru Bahasa Inggeris, Randip Kaur Valden Singh, 42, beliau mengakui dari segi kehadiran murid ia lebih memberangsangkan ketika di sekolah berbanding sesi pembelajaran secara dalam talian, lebih-lebih lagi apabila terdapat gangguan internet sewaktu PdPR.

HOH  tekun mengajar murid kelainan upaya yang mengalami masalah pembelajaran di dalam kelasnya.
HOH tekun mengajar murid kelainan upaya yang mengalami masalah pembelajaran di dalam kelasnya.

"Saya lebih risaukan pembabitan murid, kerana apabila pembelajaran secara bersemuka guru lebih fokus dan dapat melihat di mana kelemahan murid dan saya boleh memberi penerangan banyak kali.

"Malah, kami guru di sekolah sentiasa memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelajar dari semasa ke semasa dan selalu mengingatkan mereka," katanya yang mempunyai 21 tahun pengalaman mengajar.

Randip berkata, bagaimanapun beliau dan guru lain akur dengan apa jua keputusan yang dibuat pihak berkuasa sekiranya peningkatan kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

"Namun, pada pandangan peribadi saya, saya masih mahu mengajar murid di sekolah (bersemuka) kerana ia memang memberi impak yang berbeza dan mempunyai personal touch antara guru dan murid.

"Saya berharap kes jangkitan Covid-19 ini tiada dan kami masih boleh mengajar seperti biasa," katanya.

Sementara itu, bagi Hoh See Khong, 49, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras berkata, proses PdPR untuk murid pendidikan khas mempunyai cabaran tersendiri.

"Ini disebabkan kebanyakan mereka (murid pendidikan khas) sukar untuk memberi fokus lebih lama di depan skrin komputer.

"Dan ibu bapa kena sentiasa ada di sebelah murid apabila PdPR dijalankan.

"Justeru, bagi saya proses pengajaran secara konvensional iaitu bersemuka lebih berkesan bagi murid ini dalam memastikan mereka mendapat kualiti pendidikan yang sempurna.

"Kami membuat sistem penggiliran, jadi bilangan murid yang hadir tak ramai bagi setiap sesi pembelajaran dan memudahkan guru mengawal mereka terutama untuk mematuhi SOP," katanya.

Hoh berkata, pihaknya melihat keberkesanan terhadap sistem penggiliran yang dilaksanakan itu dan setakat ini ibu bapa juga berpuas hati.

 NOR Azli  mengajar anak muridnya  di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras.
NOR Azli mengajar anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri, Cheras.

Manakala bagi Nor Azli Abu Bakar, 40, beliau yang mengajar subjek Matematik berkata, apabila ditanya mengenai pengalaman murid hadir ke sekolah, rata-rata mereka menyatakan keseronokan dapat belajar di sekolah semula.

"Untuk mengajar subjek Matematik, saya akui belajar bersemuka lebih berkesan berbanding PdPR secara dalam talian.

"Tidak dinafikan terdapat kekangan untuk PdPR seperti kewangan kerana tidak semua ibu bapa mampu menyediakan gajet untuk anak mereka.

"Selain itu, anak murid ini nampak seronok hadir ke sekolah dan mereka memang semangat mematuhi SOP serta boleh dikawal," katanya yang berharap lebih ramai pihak badan bukan kerajaan (NGO) memberi bantuan penyediaan bahan sanitasi ke sekolah.

Manakala bagi murid, Akbar Qayyum Abd Razak, 12, berkata, dia selalu memakai pelitup muka dan pembasmi kuman setiap kali hadir ke sekolah terutama di dalam kelas.

"Saya akan elakkan sentuhan fizikal setiap kali ada perbincangan dan sebolehnya saya serta rakan lain ikut arahan cikgu untuk patuh SOP.

"Kalau boleh kami tidak mahu sekolah ditutup sebab belajar di sekolah lebih seronok dan jika tak faham saya boleh terus tanya cikgu dan kawan-kawan lain," katanya.

Bagi Anusha Naidu Ramesh, 12, dia suka setiap kali sesi pembelajaran berlangsung, namun ketika PdPR di rumah, dia sering berdepan dengan masalah internet yang perlahan.

"Saya juga berkongsi gajet dengan adik (darjah empat), kadang kala rangkaian Internet terganggu dan sukar untuk saya fokus.

"Bila dibenarkan hadir ke sekolah, saya tak lepaskan peluang ini dan cuba catch up (mengejar) semula pembelajaran yang mana saya kurang faham," katanya.

Selain itu, Marlina Mahyubi, 48, yang mempunyai dua anak masih bersekolah berkata, sebagai seorang ibu yang bekerja, beliau mempunyai kekangan masa untuk mengikuti PdPR bersama anaknya.

"Memang risau apabila kes jangkitan semakin naik, namun tidak dinafikan pembelajaran anak-anak lebih terjamin jika dipantau oleh guru secara langsung.

"Mengenai isu keselamatan, kita harus memberikan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada semua guru supaya pelajar dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 8:01 AM