INAS Baharom (kanan) sedang membantu anaknya berumur 12 tahun mengikuti saluran DidikTV. FOTO Rosman Shamsudin
INAS Baharom (kanan) sedang membantu anaknya berumur 12 tahun mengikuti saluran DidikTV. FOTO Rosman Shamsudin
Redzuan Muharam

.my

Tanjung Malim: Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mencakupi mata pelajaran teras serta elektif memberi impak positif kepada dunia pendidikan di negara ini.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, Inas Baharom, 41, berkata, saluran DidikTV KPM yang disusun dengan sistematik perlu dimanfaatkan sepenuhnya murid dan pelajar.

Katanya, pengenalan awal siaran atau rancangan yang dimulakan dengan saluran motivasi dan kecergasan minda serta fizikal memberi ruang kepada murid atau pelajar meningkatkan motivasi kendiri serta mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saluran DidikTV mesti dimanfaatkan oleh murid dan pelajar terutama yang tinggal di kawasan luar bandar serta menjadikan DidikTV sebagai medium pembelajaran dalam normal baharu.

"Di sini, ibu bapa dan guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu berganding bahu menyebarkan tentatif rancangan saluran pendidikan kepada murid dan pelajar supaya mereka tidak ketinggalan mengikuti rancangan terbabit.

"Ibu bapa pula juga perlu memainkan peranan memantau anak ketika mengikuti saluran DidikTV supaya rancangan itu dapat memberi impak kepada anak mereka," katanya.

Bagi guru SK Pos Tenau, Muhd Safwan Alias, 30, yang mengajar di kawasan pedalaman berkata, DidikTV KPM bakal memberi pengalaman baharu kepada murid atau pelajar belajar menerusi televisyen.

Katanya, sebelum ini beliau bersama rakan guru yang lain menyediakan modul pembelajaran kepada murid di sekolah itu untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Penyediaan saluran DidikTV KPM sudah tentu dapat memantapkan lagi PdPR secara modul yang disediakan oleh guru dan saya percaya murid bakal menerima impak daripada DidikTV.

"DidikTV KPM harus dimanfaatkan kepada murid di sini dan perlu menjadikan ia sebagai medium tambahan pembelajaran supaya mereka dapat menguasai kemahiran tertentu bila sesi persekolahan bersemuka kembali bermula," katanya.

Sementara itu, guru SK Datuk Kamaruddin Behrang Stesen, Mohd Safuan Abu Bakar Ahmad, 34, pula berkata, saluran DidikTV KPM menunjukkan kesungguhan pihak KPM memastikan murid dan pelajar dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih efisien di rumah.

"Ibu bapa perlu membuat persediaan kepada anak sebelum mereka mengikuti saluran DidikTV," katanya.

Dengan menyediakan alat tulis mencukupi bagi memastikan mereka dapat belajar dengan berkesan.

"Murid boleh menghubungi guru mata pelajaran berkaitan jika mereka kurang faham atau jelas dalam mata pelajaran," katanya.

Dan ini sudah tentu memantapkan lagi penguasaan kemahiran murid dalam mata pelajaran terbabit," katanya.

Bagi guru SK Sri Keledang ,Mohd Zamree Zainol ,44, saluran DidikTV KPM membolehkan semua murid dan pelajar yang tinggal di bandar mahu pun di luar bandar dapat mengikuti saluran pendidikan terbabit.

" DidikTV boleh dijadikan pelengkap PdPR yang dijalankan oleh guru setiap hari dan dengan adanya gabungan teknik PdP ini maka saya percaya murid atau pelajar bakal mendapat manfaat daripada rancangan pendidikan itu.

" Ketika kita masih menjalani kehidupan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 menyebabkan murid atau pelajar perlu cepat bertindak menyesuaikan diri untuk mengikuti DidikTV KPM selain PdPR yang dikelolakan oleh guru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 1:32 PM