Jari telunjuk kiri budak lelaki dua tahun yang tersangkut pada penapis sinki sebelum dikeluarkan anggota bomba. FOTO ihsan bomba
Jari telunjuk kiri budak lelaki dua tahun yang tersangkut pada penapis sinki sebelum dikeluarkan anggota bomba. FOTO ihsan bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Budak lelaki berusia dua tahun terpaksa menahan sakit lebih setengah jam selepas jari telunjuk kirinya tersangkut pada penapis sinki di rumahnya di Alor Pongsu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.10 malam itu, Mohd Iffan Hazik Mohd Syaful yang membasuh tangan di sinki rumahnya dipercayai menjolokkan jari ke dalam lubang sinki berkenaan sebelum jarinya tersangkut.

Ketua Operasi BBP Bagan Serai, Penolong Bomba Kanan 2, Nasir Wahab berkata, selepas menyedari jari kanak-kanak itu tersangkut, ahli keluarganya bertindak membuka skru besi penapis sinki itu sebelum cuba mengeluarkan jari tersangkut itu menggunakan minyak dan sabun namun gagal.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan kemudiannya dibawa oleh ahli keluarganya ke balai bomba bagi meminta bantuan anggota memotong besi berkenaan.

"Jari kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan selepas kami memotong besi penapis itu menggunakan alat pemotong khas.

"Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa oleh ahli keluarganya bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:35 PM