ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersangkut pada lubang rim kenderaan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersangkut pada lubang rim kenderaan. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Marudu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan apabila jarinya tersangkut pada lubang rim kereta dalam kejadian di rumahnya di daerah ini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa terus dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Kota Marudu bersama rim berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, jari hantu tangan kanannya itu hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada 6.35 petang.

Katanya, operasi mengeluarkan jari mangsa dijalankan tiga anggota dan pegawai di bahagian Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.

"Anggota bomba menggunakan alat pemotong besi untuk mengeluarkan jari kanak-kanak terbabit yang masih terlekat pada lubang rim berkenaan.

"Operasi terpaksa dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan lebih besar pada tangan kanak-kanak terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum jari kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan.

Katanya, operasi tamat pada 8.50 malam tadi dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

KANAK-kanak (berbaju ungu) terpaksa menahan sakit akibat jari  tersangkut pada lubang rim kenderaan. FOTO Ihsan Bomba
KANAK-kanak (berbaju ungu) terpaksa menahan sakit akibat jari tersangkut pada lubang rim kenderaan. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 11:53 PM