BLIND (dua dari kanan) jaring gol penyamaan United.
BLIND (dua dari kanan) jaring gol penyamaan United.
KANE (kiri) tak sabar robek gawang Liverpool.
KANE (kiri) tak sabar robek gawang Liverpool.
AFP

London: Wira Tottenham Hotspur, Harry Kane mahu pasukannya meneruskan kecemerlangan ketika mengatasi Arsenal apabila berdepan Liverpool di Anfield, awal pagi esok.

Penyerang berusia 21 tahun itu muncul wira apabila menjaringkan dua gol membantu Tottenham bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Arsenal pada pertembungan jiran setempat utara London di White Hart Lane, Sabtu lalu.

Kini pasukan tangga kelima Spurs hanya satu mata dan satu anak tangga di depan Arsenal, satu daripada pencabar empat tangga teratas dan kelayakan ke Liga Juara-Juara, selain Liverpool, yang menghuni tangga ketujuh.

Namun sejak 1995, Spurs tidak pernah berjaya mengatasi Arsenal dalam kedudukan liga.

“Jika kami berakhir di depan Arsenal, sudah tentu kami berpeluang cerah menduduki kelompok empat teratas kerana Arsenal sudah berada di sana terlalu lama,” jelas Kane.

“Anda cuba memikirkan jika mengatasi Arsenal maka anda akan berada dalam kelompok empat teratas, tapi Liga Perdana satu liga yang kadang kala pelik kerana anda tidak boleh ramal apa yang akan berlaku. Kami perlu fokus dan melaksanakan apa yang boleh dilakukan.”

Kane menjadi penjaring terbanyak liga utama Inggeris dengan 22 gol dalam semua pertandingan, termasuk catatan cemerlang 11 gol dalam 14 perlawanan terakhirnya.

“Dia bertindak baik, menjaringkan gol dan kami perlu mengawasinya,” ujar pertahanan tengah Liverpool, Martin Skrtel mengenai Kane.

“Tapi bukan hanya dia seorang, Tottenham bertindak baik sebagai satu pasukan. Mereka beraksi lebih baik berbanding sebelum ini dan kami perlu bersedia menentang mereka.”

Keputusan seri tanpa jaringan pada pertembungan jiran setempat Merseyside Sabtu lalu menyaksikan Liverpool tidak dibolosi dalam empat perlawanan berturut-turut dan Skrtel berkata: “Kami gembira tidak dibolosi kerana sejak awal musim, pertahanan kami dikritik hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:10 AM