ANTARA lukisan yang diilhamkan Aishah.
ANTARA lukisan yang diilhamkan Aishah.
AISHAH menghasilkan lukisan dengan kaki.
AISHAH menghasilkan lukisan dengan kaki.
ANTARA lukisan yang diilhamkan Aishah.
ANTARA lukisan yang diilhamkan Aishah.
KHAIRUDDIN tekun menyiapkan lukisan menggunakan pen.
KHAIRUDDIN tekun menyiapkan lukisan menggunakan pen.
GEMAR menghasilkan lukisan flora dan fauna.
GEMAR menghasilkan lukisan flora dan fauna.
Rodly Fadly

Dia dilahirkan tidak sempurna dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tidak mempunyai tangan namun Siti Aishah Yaakob, 41, tidak pernah membiarkan kekurangan itu membelenggu cita-citanya untuk bergelar pelukis berjaya.

Tanpa tangan, Aishah masih mampu menghasilkan lukisan yang cantik dengan hanya menggunakan kedua-dua kakinya, satu kelebihan yang tidak dimiliki manusia normal.

Hari ini, selepas lebih 15 tahun membabitkan diri secara sepenuh masa dalam bidang seni lukis, Aishah sudah meletakkan namanya pada satu aras yang membanggakan.

Walaupun tidak setara Latiff Mohidin mahupun Allahyarham Syed Ahmad Jamal atau pelukis tersohor lain, Aishah berada pada kelas tersendiri dalam liganya.

Malah, dia boleh berbangga apabila lukisannya bukan saja menarik minat rakyat Malaysia tapi turut menjengah pasaran luar negara seperti Singapura, Myanmar dan Switzerland.

Aishah, anak kelahiran Guar Chempedak, Gurun, Kedah, menunjukkan bakat dalam lukisan sejak di bangku sekolah menengah dengan dibimbing oleh guru lukisan, Cikgu Sufian. Kebolehan luar biasanya kerana mampu melukis dengan kaki menjadikan dia popular dalam kalangan rakan yang sentiasa meminta dia menghasilkan lukisan untuk mereka.

“Walaupun ketika itu melukis secara percuma, saya bangga apabila rakan menggemarinya,’’ ujar Aishah.

Mengimbas pembabitan awalnya dalam dunia lukisan, dia menganggap melukis sebagai hobi saja menyebabkan dia tidak serius melakukannya.

“Apa yang saya fikir ketika itu ialah bidang lukisan tidak akan menjamin kehidupan apatah lagi orang kurang upaya seperti saya.

“Oleh itu, selepas tamat tingkatan enam, saya mengambil kursus menjahit dengan niat menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya. Namun, ternyata jiwa saya tidak boleh dipisahkan dengan lukisan kerana bidang itu lebih memberi keseronokan dan ketenangan.

“Kebetulan, Persatuan Pelukis Mulut dan Kaki (MFPA) cawangan Malaysia sedang mencari ahli. Jadi, saya mencuba nasib, memohon dengan menghantar beberapa lukisan. Selepas diuji, saya diterima sebagai ahli persatuan ini.

“Melalui MFPA, mereka membantu kami memasarkan lukisan bukan saja di dalam negara malah di luar negara melalui pameran yang di anjurkan termasuk di Switzerland.

“Selain itu, lukisan kami turut diterbitkan dalam bentuk poskad dan kad ucapan seperti kad ucapan ulang tahun hari lahir, hari raya dan Krismas. Wang hasil jualan lukisan dan kad menjadi hak kami sepenuhnya.

“Malah, MFPA memberi elaun bulanan demi membantu kami memajukan diri dalam bidang ini. Cuma, syaratnya kami mesti menghasilkan sekurang-kurangnya tiga lukisan setiap bulan,” ujar Aishah.

Aishah yang memilih flora dan fauna sebagai subjek lukisannya berkata, dia mampu menghasilkan dua lukisan bersaiz 24 x 30 sentimeter dalam sehari.

Berguru dengan sifu

Selain berterima kasih kepada MFPA, Aishah tidak akan melupakan jasa pelukis terkenal, Raja Azhar Idris yang sanggup membimbingnya secara percuma pada 2007 lalu.

“Saya memang menggemari karya Raja Azhar terutama yang dihasilkan di atas kaca. Saya selalu berangan-angan, alangkah seronoknya jika dapat berguru dengan beliau.

“Kebetulan, melalui suatu program televisyen, saya menyatakan hasrat itu apabila ditanya pengacara mengenai impian saya. Amat memeranjatkan, tidak lama selepas itu saya dipertemukan dengan Raja Azhar dan dia menyatakan kesediaan mengambil saya sebagai muridnya.

“Saya sangat terharu apabila Raja Azhar sanggup mengajar tanpa mengenakan sebarang bayaran sedangkan saya difahamkan yuran untuk menyertai kelasnya RM200 seminggu.

“Bukan saja belajar secara percuma malah sepanjang tempoh pembelajaran itu, dia mengajak saya tinggal bersama keluarganya dengan penginapan serta makan minum saya ditanggung.

“Selama tiga bulan berguru dengannya, Raja Azhar tidak lokek menurunkan ilmu. Walaupun saya hanyalah seorang pelukis amatur, kurang upaya pula, namun dia tidak pernah memandangkan rendah cita-cita saya.

“Banyak ilmu yang saya belajar, antaranya pelbagai teknik melukis dan mewarna. Malah, sepanjang tinggal bersama keluarga Raja Azhar, saya dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan seorang pelukis profesional seperti dirinya,” kata Aishah yang berhasrat kembali berguru dengan dengan pelukis terbabit tidak lama lagi.

Mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pelukis, Aishah memberitahu dia berasa sangat bangga apabila seorang kerabat diraja menempah tiga lukisan bersaiz 2 x 2 kaki pada 2008.

“Pada awalnya saya agak gementar apabila pegawai kerabat diraja itu menyatakan dia memberi masa hanya sebulan untuk saya menyiapkan tiga lukisan terbabit.

“Saya tiada masalah menyiapkan tiga lukisan dalam tempoh berkenaan, tapi apa yang membimbangkan penerimaan lukisan saya itu.

“Apatah lagi pegawai itu tidak menyatakan subjek yang dikehendaki sebaliknya memberi kebebasan kepada saya untuk melukisnya. Tapi, alhamdulillah dia menyukai lukisan terbabit dan membayar dengan harga di luar jangkaan,” ujarnya.

Selain itu, Aishah bersyukur kerana lukisannya turut dibeli oleh orang kenamaan serta syarikat korporat.

Tidak harap simpati

Sementara itu, rakan Aishah, Muhammad Khairuddin Che Rani, 27, turut membuktikan kecacatan bukanlah penghalang menggapai kejayaan atau impian.

Pemuda kelahiran Pak Jak, Lubok Kawah, Pasir Mas, Kelantan itu yang dilahirkan tanpa tangan boleh berbangga kerana tidak pernah mengharapkan simpati orang untuk meneruskan kehidupan.

“Sejak kanak-kanak, saya suka hidup berdikari. Saya tidak melihat ketiadaan tangan ini sebagai satu kekurangan sebaliknya menambahkan keazaman untuk berjaya.

“Saya yakin, bakat sebagai pelukis adalah pemberian istimewa daripada Allah. Mungkin kalau sempurna, saya tidak mampu melukis dengan kaki seperti sekarang, malah belum tentu dapat melukis dengan tangan.

“Saya sudah buktikan, dengan kerjaya sebagai pelukis, saya mampu hidup tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Apa yang membanggakan, Khairuddin kini mampu memiliki sebuah galeri di kampung halamannya. Selain mempamerkan hasil kerja seninya, Jiwaku Galeri yang ditubuhkan pada 2015 itu dijadikan pusat membuat dan menjual perabot yang diperbuat daripada akar kayu.

Sewajarnya kita yang dilahirkan normal berasa malu kepada Aishah dan Khairuddin jika masih meratapi nasib diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 11:54 AM