NAIM ketika pameran lukisan pada 25 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
NAIM ketika pameran lukisan pada 25 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
NAIM melukis pemandangan di Putrajaya. FOTO arkib NSTP
NAIM melukis pemandangan di Putrajaya. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun baru mencecah usia 14 tahun, Naim Hamid Hamidin mampu memperoleh pendapatan lumayan dari hasil lukisannya yang mencecah sehingga RM2,500 sebuah lukisan.

Bapanya Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, 80 peratus daripada pendapatan lukisan anaknya disimpan untuk tabung pendidikan anaknya, sementara 20 peratus lagi disumbangkan kepada badan kebajikan.

Hamidin yang bertugas di Universiti Malaya berkata, walaupun anaknya menerima banyak tempahan, namun beliau dan isterinya Faizah Bazid tidak mahu membebankan anaknya kerana dia masih bersekolah.

"Buat masa ini kami menerima tempahan dari rakan-rakan terdekat atau mereka yang beminat dengan hasil lukisan Naim," katanya pada pameran lukisan sulung anaknya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, ramai yang kagum dengan kemampuan anaknya yang ketika berusia 10 tahun sudah mahir melukis pelbagai jenis lukisan termasuk potret dan pemandangan dengan menggunakan cat minyak, cat air dan arang.

Bakat melukis Naim, pelajar sekolah Seni Malaysia di Johor Bahru mula dikesan sejak kecil apabila dia lebih gemar menghabiskan masa menconteng dan melukis, kata bapanya.

Hamidin berkata, beliau dan isteri menyokong penuh minat anak mereka dalam bidang lukisan dan tidak akan menghalang sekiranya Naim ingin menyambung pengajian dalam bidang itu.

"Pada saya bakat yang kita ada jangan dibazirkan. Buat apa yang kita suka. Tidak mustahil ia boleh bantu kita, sebagai contoh dalam menjana pendapatan," katanya.

Bagi mendedahkan anaknya dengan liku-liku hidup sebagai seorang karyawan, beliau telah mengadakan pameran khas untuk anaknya.

"Pameran ini lebih untuk mendedahkan kepadanya dunia artis sebenar di samping menyokong dan memperkenalkan dia dan lukisannya kepada kenalan dan pengunjung," katanya.

Hamidi juga bercadang untuk mengadakan pameran lukisan bersama pelukis muda supaya bakat-bakat mereka dapat diketengahkan.

Bagi Naim, melukis adalah satu yang menyeronokkan dan "bila melukis saya tidak bosan. Dalam kelas pun saya banyak melukis dan menconteng. Bila melukis saya cuba pastikan apa yang saya lukis itu menyerupai apa yang asal."

Apabila ditanya mengenai cita-citanya, anak kedua daripada empat orang adik beradik itu berkata, antara cita-citanya adalah untuk menjadi pelukis animasi yang dikenali.

Mengenai pemilihannya menyertai Pesta Buku Kebangsaan Riyadh 2017 baru-baru ini, ibunya berkata nama Naim mula menjadi sebutan untuk mewakili negara sebagai pelukis muda apabila Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menyedari bakatnya menerusi media sosial.

"Setiap kali lepas Naim melukis, saya akan memuat naik hasil lukisannya di Facebook dan kawan-kawan saya dari ITBM yang nampak dan mencadangkan nama Naim.

Kebetulan tema pameran pada waktu itu adalah bakat muda, jadi rezeki Naim terpilih ke sana," katanya.

Naim bukan sahaja diberi penghargaan untuk melukis tirai latar untuk pavilion Malaysia di pesta buku itu, tetapi turut diminta penganjur untuk melukis potret Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. Lukisan tersebut telah sampaikan kepada Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr Adel Zaid Altoraifi untuk disampaikan pula kepada Raja Salman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:18 PM