Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat (kiri) memegang barang yang dirampas dalam operasi 'Ops Pintu' di daerah ini. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat (kiri) memegang barang yang dirampas dalam operasi 'Ops Pintu' di daerah ini. FOTO SAFURI KAMARUDIN.
Oleh Safuri Kamarudin


Baling : Kegiatan geng 'Tok Dan' yang aktif mencuri dan pecah rumah di sekitar daerah ini dilumpuhkan selepas polis membuat operasi khas 'Ops Pintu' sejak 14 sehingga 17 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kumpulan yang dianggotai sembilan lelaki tempatan berusia antara 19 sehingga 35 tahun diberkas ketika anggota membuat serbuan berkaitan kes itu di beberapa lokasi.

Beliau berkata, semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methapethamine.

"Semua mereka positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau serta aktif melakukan pecah rumah kampung dan bangunan kedai sekitar Kupang dan Baling.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan untuk melakukan jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis, hari ini.

Shamsudin berkata, antara barang yang dirampas termasuk tiga kenderaan dan sebuah motosikal digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah.

"Kita merampas dua kereta jenis Perodua Viva, sebuah kereta Proton Waja dan motosikal Modenas Kriss.

"Selain itu, beberapa barangan lain termasuk jam berjenama, telefon bimbit di curi di bangunan kedai," katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kumpulan 'Tok Dan' polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di daerah

"Saya meminta mereka yang kehilangan harta benda tampil membuat laporan polis dan membantu polis mengesan penjenayah.

"Semua mereka di reman sehingga 22 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 411, Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dipenjara sehingga enam bulan dan tidak lebih lima tahun.

"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 414, Kanun Keseksaan kerana menyembunyi harta curi dan Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh rumah untuk mencuri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:12 PM