ANTARA barangan dirampas dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA barangan dirampas dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Polis menahan lima individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini dalam dua serbuan berasingan pada 1 dan 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan lima individu itu membabitkan dua geng pecah rumah.

"Dalam kejayaan pertama, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 29 hingga 43 tahun di Plaza Tol Sungai Buloh jam 2 petang pada 1 Ogos lalu.

"Ketiga-tiga suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah di sebuah kediaman di Damansara Damai pada 30 Julai lalu yang menyebabkan kerugian RM2,700," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan lanjut dilakukan membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk barang kemas, pakaian, minyak wangi, beg, lesen memandu, surat pajak gadai, spanar, pemutar skru dan kunci allen.

"Semakan dilakukan mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah dan tiga kes dadah, manakala suspek kedua pula mempunyai enam rekod jenayah serta enam kes dadah.

"Suspek wanita pula mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes curi. Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati hanya seorang daripada dua suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamin, manakala dua lagi suspek negatif dadah.

"Kami yakin dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar daerah itu dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM24,800," katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua pihaknya menahan dua lelaki berusia 52 dan 33 tahun di sebuah rumah di Cheras, Kuala Lumpur jam 4 petang pada 3 Ogos lalu.

"Kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dengan kejadian pecah rumah di Damansara pada 2 Ogos lalu yang menyebabkan kerugian RM5,900.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas tiga jam tangan berjenama, satu bagasi dan sejumlah duit syiling," katanya.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai 15 kes jenayah, 30 rekod lain-lain kesalahan dan tujuh kes dadah, manakala suspek kedua mempunyai empat kes dadah serta satu rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

"Penahanan kedua-dua suspek berkenaan dapat menyelesaikan dua kes pecah rumah di daerah ini," katanya.

Katanya, semua suspek yang ditahan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 7:55 PM