Antara barangan yang dirampas polis susulan penahanan tiga individu disyaki pecah rumah di Kampung Pasir, Brickfields. Foto Ihsan PDRM
Antara barangan yang dirampas polis susulan penahanan tiga individu disyaki pecah rumah di Kampung Pasir, Brickfields. Foto Ihsan PDRM
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dengan tertangkapnya tiga individu dengan seorangnya daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan satu laporan diterima daripada seorang mangsa pada 7 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa memaklumkan rumahnya di Jalan Kampung Pasir di sini, dipecah masuk yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM150,000.

"Mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 37 tahun dihubungi suaminya pada 4.50 petang dan memaklumkan mangga yang dipasang di jeriji besi rumah hilang dan tingkap tandas dalam keadaan terbuka.

"Turut dilihat kesan tapak kasut di ruang kaki lima rumah berhampiran tandas, malah bilik serta ruang tamu juga dalam keadaan berselerak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa kehilangan barang berharga iaitu beg tangan berjenama, pelbagai jam tangan berjenama, wang tunai RM10,000, peralatan elektronik, komputer riba dan barangan kemas.

Katanya, susulan itu Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke lokasi kejadian dan berjaya mengesan lima kesan cap jari dan satu kesan tapak kasut.

"Pada 3.15 pagi hari ini, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia 30 dan 41 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 35 tahun.

"Seorang daripada suspek itu didapati mempunyai 23 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Amihizam berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord dan segugus kunci, sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan kunci motosikal, topi keledar, kad akses bersama tiga kunci, pelbagai jenis telefon bimbit, sembilan utas jam tangan berjenama, seutas rantai leher, seutas gelang tangan, topi, beg tangan berjenama, sepasang kasut dan kad pengenalan seorang lelaki tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang pelanggaran peraturan atau undang-undang di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 6:39 PM