PELBAGAI rupa motosikal klasik menyertai Wheel O Wheel.
PELBAGAI rupa motosikal klasik menyertai Wheel O Wheel.
PESEMBAHAN dari pelajar fakulti kejuruteraan UITM.
PESEMBAHAN dari pelajar fakulti kejuruteraan UITM.
HAMIDAH bersama peserta konvoi.
HAMIDAH bersama peserta konvoi.
PALING menonjol ketika acara larian.
PALING menonjol ketika acara larian.
Nurul Husna Mahmud


Mahu mengembalikan nostalgia kalangan generasi muda menjadi pencetus penganjuran program Wheel O Wheel oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarana Muda Pengurusan Majlis dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UITM Shah Alam.

Menggamit kenangan retro klasik bermula daripada acara larian lagi apabila ada segelintir peserta mengenakan rambut afro berkaca mata hitam sepanjang larian.

Selain larian pelbagai acara berkait dengan permotoran klasik diadakan terutama Projek Vespa Shah Alam menjadi tumpuan utama apabila membariskan lebih 30 penunggang berkonvoi sekitar kampus.

Turut bermotif kebajikan

Menurut Pengarah Program Syamim Zhafiran Hamim Bustami meskipun projek ini penting bagi memenuhi keperluan pengajian, namun ia memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti alam pekerjaan secara jelas.

“Tidak dinafikan untuk memenuhi tuntutan jurusan kami, namun ia memberi gambaran langsung mengenai bidang penganjuran acara.

“Di sini kami belajar berurusan dengan orang luar di samping melihat sejauh mana program itu boleh memainkan peranan penting kepada penganjur mahupun objektif penganjuran tebabit.

“Contohnya dalam program ini kami turut sertakan pembabitan kelab Vespa untuk menyertai konvoi manakala peniaga kecil pula terbabit dalam slot Pasar Klasik.

“Kolaborasi ini penting kerana selain mahu menjadikan program Wheel O Wheel ini paltform masyarakat mendalami permotoran klasik, kami turut mengumpul dana disalurkan kepada Pertubuhan Viva Palestina Malaysia membantu rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu Penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam Zulhilmi Rafi dinobatkan Retro King kerana penampilannya unik.

“Apabila mengetahui mengenai acara larian berkenaan, saya teruja mendapatkan ‘prop’ seperti rambut afro serta bandana untuk menonjolkan imej retro,” katanya.

Manakala Retro Queen dimenangi Zanalia Omar hadir bersama teman seawal jam 7 pagi memeriahkan larian itu.

Teruja dipelawa meriahkan Wheel O Wheel

Wakil Persatuan Malacca Vespa Club (MUC) Alif Sofie Abdullah berkata dia tidak menyangka mendapat jemputan dari Kuala Lumpur serta mengetuai konvoi Untukmu Palestin.

Katanya, biarpun terdiri pelbagai latar belakang penunggang namun kerjasama erat membuatkan konvoi terbabit berjalan lancar serta dibantu pihak trafik nyata memastikan keselamatan peserta.

“Kami gembira apabila mendapat jemputan pihak penganjur sebulan lalu untuk menyertai acara ini. Dari MUC kami hadir bersama 12 penunggang daripada 50 ahli aktif.

“Cabaran pihak kami, biasalah apabila membabitkan motosikal klasik dengan perjalanan sejauh 100 kilometer, satu keperluan memastikan motosikal diselenggara dengan baik sebelum konvoi.

“Kami berharap selepas ini bukan dengan UiTM saja, malah lebih ramai pihak dapat kami meriahkan acara mereka sambil memberi pendedahan mengenai pengalaman berkonvoi secara selamat,” katanya.

Memberi nilai ekstra kepada pelajar

Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Prof Madya Dr Siti Halijah Shariff berkata, program itu dilihat bukan sekadar memenuhi piawaian kredit akademik semata-mata sebaliknya membuka dimensi berbeza bagi pelajar terbabit.

“Program awalnya untuk memenuhi keperluan pengajian mampu memberi impak ekstra buat pelajar apabila mereka membabitkan penyertaan Pertubuhan Viva Palestina serta rumah kebajikan terpilih diraikan bersama dalam program sama.

“Sebaik melihat usaha serta kejayaan pelajar merencana program yang berupaya menjangkau pelbagai lapisan masyarakat memberi gambaran usaha fakulti mahupun universiti untuk melahirkan pelajar kompeten buat pasaran kerja mahupun berguna kepada masyarakat berjaya dicapai,” katanya.

Menghargai sumbangan pelajar

Manakala wakil Pertubuhan Viva Palestina Malaysia (VPM) Dr Hamidah Marican menyifatkan sumbangan diterima sebanyak RM2,000 memberi makna besar.

Katanya, mendekati musim sejuk, keperluan penduduk Palestin kini menjadi mangsa keganasan Israel sangat mendesak.

“Dana diterima akan disalurkan untuk keperluan susu bayi di Gaza selain bantuan perubatan.

“Selain itu, kami bakal menganjurkan Kempen Bantuan Musim Sejuk bermula pertengahan November nanti bagi membekalkan keperluan pakaian panas, makanan serta kem perubatan kerana ia keperluan mendesak ketika ini,” katanya.

Bagi orang awam yang ingin menyumbang kepada Misi Gaza VPM boleh melayari laman vpm.org.my atau menghubungi talian 03-78801900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:05 AM