Penuntut USM dan orang ramai berpeluang menyaksikan Supermoon dengan lebih dekat dengan menggunakan mikroskop di USM. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Penuntut USM dan orang ramai berpeluang menyaksikan Supermoon dengan lebih dekat dengan menggunakan mikroskop di USM. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Lebih 300 penutut Universiti Sains Malaysia (USM) dan pengunjung berkumpul di Padang Kawad USM bagi menyaksikan fenomena supermoon™ di sini, malam tadi.

Presiden Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang Dr Chong Hon Yew berkata, fenomena Supermoon ini pertama kali dipertontonkan kepada pelajar di universiti berkenaan.

"Saya dan kelab astronomi menyediakan 10 teleskop kepada pelajar dan pengunjung yang datang untuk menyaksikan Supermoon.

"Kami tidak menyangka ramai pelajar dan pengunjung ke sini," katanya ketika ditemui di Padang Kawad USM, di sini, tadi.

Menurutnya, Supermoon berlaku dalam tempoh 18 tahun sekali dan ia amat cantik berikutan jarak bulan pada 356,523 kilometer (KM) dari bumi.

"Sekiranya orang ramai tidak dapat menyaksikan Supermoon malam ini, mereka terpaksa menunggu lagi 18 tahun untuk menyaksikannya.

"Supermoon ini dapat dilihat bermula jam 9 malam hingga 6 pagi esok sebelum fajar,"katanya.

Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) Sains Komputer, Imran Sarwar, 37, berkata dia gembira dan bertuah dapat menyaksikan Supermoon itu.

"Awalnya keadaan di sini mendung dan hujan, bulan tidak kelihatan di langit dan ketika itu perasaan saya amat sedih bimbang tidak dapat melihat bulan.

"Namun selepas 30 minit hujan berhenti saya terus ke padang kawad untuk melihat bulan. Alhamdulillah, saya dapat melihatnya dengan mata kasar tanpa menggunakan teleskop," katanya.

Tinjauan Harian Metro di padang kawad USM mendapati lebih 300 pelajar dan penduduk berhampiran USM datang menyaksikan Supermoon.

Padang kawad mula dibanjiri pelajar dan pengunjung pada jam 7 malam dan semakin bertambah pada jam 9 malam.

Terdapat pelbagai peringkat umur pengunjung yang datang ke padang kawad USM termasuk kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 10:48 PM