ABDUL Halim menyaksikan Supermoon melalui teleskop di Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
ABDUL Halim menyaksikan Supermoon melalui teleskop di Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi.

Alor Gajah: Fenomena ‘Supermoon’ berlaku kelmarin menjadi petunjuk kepada umat Islam yang kini sudah berada pada pertengahan bulan mengikut kalendar Islam.

Mufti negeri Datuk Abdul Halim Tawil berkata, fenomena berlaku membuktikan ketepatan daripada sudut takwim hjrah dalam menentukan kalendar Islam berdasarkan dua kaedah iaitu hisab dan rukyah.

“Kaedah hisab membabitkan pakar falak menghitung jadual waktu solat, mengira pergerakan hari hinggalah kepada perubahan bulan hijrah manakala rukyah lebih kepada mencerap seperti yang membabitkan Supermoon.

“Fenomena ini, sekali gus membuktikan hari ini (kelmarin) masuk 15 Safar dan ia menunjukkan ketepatan takwim Islam,” katanya ketika hadir pada aktiviti cerapan fenomena Supermoon di Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, bermula jam 8.45 malam kelmarin.

Hadir sama Pegawai Sains dan Falak Syarie, Jabatan Mufti Negeri Nor Nazmi Razali.

Abdul Halim berkata, melalui aktiviti cerapan, bulan hanya kelihatan jam 9.18 malam. Bagaimanapun, pada mulanya, keadaannya samar-samar, namun semakin terang jam 9.45 malam.

“Supermoon dapat dilihat dengan jelas pada jam 10.15 malam, selain boleh dilihat melalui teleskop 16 inci disediakan di sini. Bagaimanapun, kami masih tidak mendapat kesempurnaan seperti dijangkakan berikutan faktor cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Menurutnya, lebih 80 pelajar dan penduduk sekitar berkumpul di Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi bagi menyaksikan fenomena berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:34 AM