Mohd Rashidi (kanan) bersama Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri, Khairul Anuar Shamsuddin memeriksa teleskop yang akan digunakan untuk melihat ‘Lunar Pedigee’, malam ini.
Mohd Rashidi (kanan) bersama Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri, Khairul Anuar Shamsuddin memeriksa teleskop yang akan digunakan untuk melihat ‘Lunar Pedigee’, malam ini.

Port Dickson: Penduduk berpeluang menyaksikan Supermoon atau nama saintifiknya ‘Lunar Pedigee’ iaitu kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi, malam ini.

Penolong Mufti Bahagian Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Mohd Rashidi Isa berkata, pihaknya melakukan persiapan dengan menempatkan teleskop di Balai Cerap Telok Kemang, di sini, bagi membolehkan orang ramai melihat fenomena itu.

Menurutnya, fenomena Supermoon akan berlaku selepas Maghrib kira-kira jam 7 malam dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada jam 9.50 malam.

“Secara umum, bulan akan kelihatan lebih besar iaitu 14 peratus berbanding biasa dan kecerahannya mencapai 30 peratus. Malam esok (hari ini) kita menjangkakan Supermoon terbesar dan berada pada jarak yang paling dekat dengan Bumi berbanding 68 tahun lalu.

“Orang ramai perlu mengambil kesempatan menyaksikannya kerana ia dijangka akan berlaku 22 tahun akan datang iaitu 25 November 2038,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, selain berpeluang melihat fenomena itu, pihaknya juga menyediakan peluang kepada orang ramai untuk mempelajari cara dan teknik merakam gambar astronomi.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan pantai di Lukut di sini, mendapati penduduk terutama nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan seperti biasa dan menganggap fenomena itu kebesaran Allah dan tidak menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang nelayan, Mohd Bashir Sono, 56, berkata, air pasang besar yang dikaitkan dengan fenomena Supermoon yang dijangka berlaku esok (hari ini) tidak membimbangkan penduduk setempat.

“Sekiranya air pasang besar yang biasa berlaku, kami masih turun ke laut tetapi jika berlaku ribut, kami tidak turun ke laut. Kawasan Port Dickson agak terlindung daripada masalah ribut berbanding kawasan Selangor,” katanya yang sudah 20 tahun menjadi nelayan.

Rakannya, Rahim Omar, 53, berkata, kedatangan fenomena itu dengan air pasang besar tidak memberikan kesan yang besar kepada nelayan di kawasan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 6:51 AM