DAUN lemuni  dikisar kemudian dicampur bersama santan dan  digabungkan bersama nasi serta bahan lain
DAUN lemuni dikisar kemudian dicampur bersama santan dan digabungkan bersama nasi serta bahan lain
DAUN lemuni bukan saja enak dimakan, malah mempunyai khasiat yang baik untuk badan.
DAUN lemuni bukan saja enak dimakan, malah mempunyai khasiat yang baik untuk badan.
KEISTIMEWAAN nasi lemuni bukan saja terletak pada nasi, malah sambalnya  mempunyai rasa seimbang serta perlu dimasak lama.
KEISTIMEWAAN nasi lemuni bukan saja terletak pada nasi, malah sambalnya mempunyai rasa seimbang serta perlu dimasak lama.
PELANGGAN juga boleh memilih untuk menambah ikan goreng, ayam goreng atau ayam madu untuk dinikmati bersama nasi lemuni.
PELANGGAN juga boleh memilih untuk menambah ikan goreng, ayam goreng atau ayam madu untuk dinikmati bersama nasi lemuni.
NASI lemuni telur dijual pada harga RM2.
NASI lemuni telur dijual pada harga RM2.
Fatin Farhana Japre

Ketika berkunjung ke Kedah baru-baru ini, penulis berpeluang mencuba nasi lemuni yang dikatakan hanya boleh didapati di utara tanah air itu.

Nasi yang dimasak seakan nasi lemak itu bukan saja enak, malah mempunyai rasa tersendiri yang segar dan berbeza.

Itu antara gambaran pertama sebaik menikmati hidangan berkenaan ketika singgah di Sungai Petani.

Apatah lagi nasi dimasak bersama daun lemuni beras, santan, bawang putih, bawang merah, halia, biji halba, garam dan daun pandan itu menaikkan selera dengan baunya yang wangi.

Menurut penjual nasi lemuni Mohd Shahrizal Mohd Izhar, 31, warna nasi yang perang kehitaman itu terhasil daripada jus daun lemuni yang dikatakan mudah dijumpai negeri jelapang padi itu.

Mohd Shahrizal yang membuat jualan secara dalam talian menerusi Facebook itu berkata, nasi lemuni enak dimakan begitu saja atau dihidang bersama sambal, timun, telur rebus dan lauk tambahan seperti ikan goreng, ayam goreng atau ayam madu.

Beliau yang dibantu isteri turut berkata, nasi lemuni yang menjadi kegemaran pelanggan itu adalah resipi keluarga mentua sejak turun-temurun.

“Keistimewaan nasi lemuni ini bukan saja terletak pada nasinya semata-mata, tapi rata-rata pembeli memberi komen positif dan menyukai sambalnya.

“Sambal ini tidak mempunyai resipi atau bahan rahsia kerana paling penting adalah keseimbangan rasa pedas, masam, manis dan masin.

“Malah, sambal yang kami hasilkan ini ditumis dalam jangka masa yang lama supaya ia benar-benar masak dan enak,” katanya.

Selain menambah rasa enak pada nasi, daun lemuni juga dikatakan mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh badan seperti awet muda.

“Nasi lemuni adalah kegemaran pelanggan kerana sejak menu ini diperkenalkan, ia banyak mendapat pesanan dan tidak pernah putus permintaan. Malah, ada yang membuat pesanan untuk katering,” katanya.

“Saya juga pernah mendapat pesanan daripada rakan Facebook yang tinggal di Kedah. Apabila berkunjung ke sini mereka membuat pesanan sehari sebelum untuk saya siapkan,” katanya.

Nasi yang dijual bermula RM2 itu turut menawarkan lauk tambahan dengan harga berbeza seperti nasi lemuni ikan goreng (RM3.50), nasi lemuni ikan goreng dan telur (RM4) dan nasi lemuni ayam madu (RM5).

Bagi yang tinggal sekitar Kedah dan mengetahui lebih lanjut atau mencuba keenakan hidangan itu, layari Facebook ‘Shah Rayyan Nasi Lemuni’ untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 11:26 AM