HIDANGAN ringkas tetapi lazat, Jawi Bamieh.
HIDANGAN ringkas tetapi lazat, Jawi Bamieh.
NASI Lentil yang menjadi hidangan sarapan pagi enak dimakan dengan daging masak hitam.
NASI Lentil yang menjadi hidangan sarapan pagi enak dimakan dengan daging masak hitam.
NURILKARIM bersama hidangan yang cukup digemari di Jawi House
NURILKARIM bersama hidangan yang cukup digemari di Jawi House
Oleh Suliati Asri

Perkahwinan campur pedagang asing di Pulau Pinang dengan penduduk tempatan bukan saja menghasilkan keturunan dan kebudayaan unik, tetapi hidangan tradisional tersendiri.

Jawi Peranakan atau anak tanjung iaitu mereka yang berdarah campuran Melayu dengan India, Arab, Turki serta Persia misalnya mempunyai menu tersendiri yang bukan saja unik, tetapi menyelerakan.

Terletak di Armenian Street, kunjungan ke Jawi House Cafe Gallery yang dibuka sejak Ogos 2013, bukan saja memberikan peluang mengenali sejarah Jawi Peranakan, tetapi menikmati makanan tradisional, antaranya nasi Lemuni.

Pengasasnya Datuk Dr Wazir Jahar Abdul Karim tidak menyangka makanan tradisional Jawi Peranakan itu mendapat sambutan baik orang ramai.

Pengurus dan juga Chef Jawi House Cafe Gallery, Nurilkarim berkata, makanan tradisional Jawi Peranakan itu hanya dihidangkan di Jawi House Cafe Gallery.

"Nasi Lemuni mendapat nama kerana ia dimasak menggunakan daun lemuni atau daun awet muda dan biasanya di makan selepas bersalin.

"Bahan lain yang digunakan ialah bunga telang, santan, serai, halia dan bawang merah yang amat baik untuk kesihatan.

"Nasi Lemuni dimakan bersama sambal, ikan bilis dan rendang daging," katanya.

Cafe itu turut menghidangkan nasi Lentil atau nasi Kacang iaitu campuran kacang parpu dan dal.

Ia dihidangkan ketika sarapan pagi dan dimakan bersama lauk hitam atau sambal udang.

"Satu lagi hidangan unik, tetapi menyelerakan ialah Jawi Bamieh atau dalam bahasa arabnya bermaksud bendi yang berasal dari Yaman dan Mesir serta Oman.

"Bamieh ialah sup tomato dengan bandi, tetapi diubah suai dengan menambah daging dan dimakan dengan roti," katanya.

Menu lain yang dihidangkan ialah laksa Jawi Peranakan yang ditambah santan dan nanas serta minuman tradisional, Air Arabian Sherbet.

"Bagi menjaga keasliannya, setiap hidangan dimasak menggunakan resipi asal, tetapi ada juga yang diubah suai bagi membolehkan lebih ramai menikmati hidangan Jawi Peranakan ini," katanya.

Sambil menunggu hidangan, anda boleh mendalami sejarah masyarakat Jawi Peranakan di galeri tingkat atas kafe.

Terletak di Armenian Street, Jawi House Cafe Gallery dibuka setiap hari kecuali selasa dari jam 11 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:01 AM