HIDANGAN nasi ambeng ala tradisi.
HIDANGAN nasi ambeng ala tradisi.
HAMIDAH bersama nasi ambeng hasil air tangannya.
HAMIDAH bersama nasi ambeng hasil air tangannya.
Oleh Rodly Fadly


Hubungan orang Jawa dengan nasi ambeng ibarat irama dan lagu malah makanan tradisi itu kekal menu wajib dalam pelbagai majlis keraian masyarakat itu terutama di kampung-kampung.

Jika mahu menikmati nasi ambeng asli, kunjungi kafe di Riverstone Eco Resort di Hutan Lipur Sungai Tua, Jalan Ulu Yam kerana ia hasil air tangan anak Jawa sejati, Hamidah Asararuddin, pemilik resort itu.

Selain mengekalkan nilai tradisi termasuk dihidang dalam dulang beralaskan daun pisang, nasi ambeng Riverstone enak dimakan. Lauk-pauk seperti ayam semur (ayam masak kicap), sambal goreng, mi atau bihun goreng, ikan kering, tempe dan serunding kelapa melengkapkan hidangan.

Ayam masak kicap yang juga lauk utama sangat sedap dijamah kerana selain lembut, kuahnya terasa sehingga ke isi. Sambal goreng tambah membuka selera selain ikan masin, tempe goreng serta serunding kelapa menambah selera. Dan, mi goreng selaku pelengkap hidangan nasi ambeng.

Menurut Hamidah, nasi ambeng yang disediakannya adalah resipi turun-temurun yang diwarisi neneknya, Allahyarham Asiah Abd Rahman dan ibunya, Marhumah Suhud. Namun, ia diubah suai untuk menambah keenakannya.

“Nenek memang pakar memasak nasi ambeng, kemudian diwarisi ibu dan kini saya generasi ketiga, cuma saya mengubah suai sedikit resipi asal untuk menambahkan keenakannya.

“Contohnya, dalam menyediakan ayam masak semur, saya mempunyai resipi sendiri yang menyebabkan ayam itu lembut dan kuahnya terasa sehingga ke isi.

“Begitu juga dengan penyediaan serunding, saya guna kelapa yang diparut , dicampur bersama bumbu iaitu campuran bahan yang dikisar seperti cili, udang kering, jintan manis, jintan putih, bawang, lengkuas, kunyit hidup, garam, gula dan gula merah. Ia digoreng tanpa minyak dan dengan api yang perlahan,” katanya.

Hamidah tidak menggunakan mi kuning seperti tradisinya, sebaliknya menggantikan dengan mi kering bagi menambah keenakan hidangan.

“Mi basah tidak sesuai dimakan dengan nasi ambeng kerana bila dimasak ia kembang, jadi saya gantikan dengan mi kering,” katanya.

Lebih menarik, nasi ambeng Riverstone boleh disesuaikan dengan masakan lain sebagai menu tambahan seperti ikan patin masak tempoyak, daging salai masak lemak, asam pedas, pecal, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan sambal belacan.

Kafe itu turut menyediakan harga ‘mampu milik’ iaitu set individu berharga RM8 untuk seorang makan, set RM30 untuk dua orang dan set besar untuk empat atau lima orang sehidang dengan harga RM50.

“Jika mereka mahu menambah menu lain, kami akan mengenakan caj berasingan untuk lauk tambahan itu,” katanya.

Kafe itu hanya beroperasi pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) tapi bagi penggemar nasi ambeng di sekitar Lembah Klang, Riverstone kini menyediakan khidmat penghantaran setiap Selasa, Khamis dan Jumaat dengan syarat setiap tempahan berharga tidak kurang RM150.

Turut menerima tempahan untuk rumah terbuka Aidilfitri dan katering.

Hubungi talian 013-2080833 atau layari www.riverstoneecoresort.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 10:18 AM