Resipi sambal goreng Jawa  ringkas mengikut cita rasa sendiri, mampu tahan lama
Resipi sambal goreng Jawa ringkas mengikut cita rasa sendiri, mampu tahan lama
Nurul Husna Mahmud


PEMINAT nasi ambeng pastinya mengetahui antara elemen penting dalam sajian tradisi itu ialah sambal goreng Jawa.

Sambal goreng Jawa salah satu hidangan sampingan dan pembuka selera berasaskan sayur yang enak dinikmati bersama nasi panas serta ikan kering ketika berbuka atau bersahur.

Tidak sekadar suhun dan tempe yang digoreng bersama cili lalu diperisakan dengan garam serta gula, resipi sambal itu boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa masing-masing.

Menurut tukang masak utama Rooy Katering, Kamal Effende Mohd Sharif, dia mempunyai versi sambal goreng Jawa tersendiri yang mudah disediakan dan lebih tahan lama.

"Mentaram umpamanya adalah salah satu resipi sambal goreng Jawa yang lebih ringkas dan mudah penyediaannya. Malah resipi juadah pedas manis resipi yang saya kongsikan kepada pembaca ini adalah tahan lama.

"Tapi tidak hanya mentaram kerana terdapat versi lain untuk sambal goreng Jawa yang pernah disediakan bagi peminat hidangan itu.

"Sepanjang tujuh tahun pengalaman dalam penyediaan sajian lauk pauk kenduri, maklum balas yang saya terima terutama pelanggan yang mahukan sajian tradisi Jawa sebagai sajian kenduri atau jamuan berbuka, lebih menyukai versi sambal mentaram.

TUKANG  masak utama Rooy Katering, Kamal Effende.
TUKANG masak utama Rooy Katering, Kamal Effende.

"Tidak hanya untuk makan bersama nasi, sajian ini kerap disediakan dalam saiz hidangan yang besar untuk diratah seperti sajian ringan," katanya.

Katanya, versi sambal goreng Jawa lain yang pernah disediakan adalah versi berkicap dengan penambahan bahan seperti paru dan hati.

"Begitu juga untuk versi sambal goreng Jawa yang basah dan berlemak, penyediaannya dengan bahan tambahan iaitu santan. Tetapi sambal ini lebih sukar disimpan untuk satu tempoh y

ang lama," katanya.

Resipi sambal goreng Jawa mentaram (untuk tiga hingga empat orang makan)

Bahan A

6 biji kentang (dipotong dadu dan digoreng)

1 keping / pek tempe (dipotong dadu dan digoreng)

2 keping tauhu (dipotong dadu dan digoreng)

1 pek kecil suhun (direndam dan ditos kering)

Bahan B

1/2 cawan minyak masak

1 atau 2 senduk cili kisar (mengikut tahap kepedasan)

1 biji bawang besar (dikisar)

2 ulas bawang putih. (dikisar)

1 inci lengkuas (dikisar)

2 batang serai (diketuk)

1 sudu besar (camca sup)

1 sudu besar cili sos

Bahan C (untuk perisa)

Garam

Gula

Bahan perasa

1 cawan air (untuk ditambah ketika menumis cili sambal)

Penyediaannya;

1. Tumiskan dahulu rencah seperti bawang putih, bawang besar, lengkuas dan serai sehingga sedikit kekuningan dan berbau wangi.

2. Masukkan udang kering dan tumiskan bersama bahan tadi sehingga naik bau.

3. Kemudian masukkan cili ke dalam bahan yang ditumis tadi. Secawan air ditambah bagi memastikan cili benar-benar masak.

4. Apabila melihat cili yang dimasak mula pecah minyak, masukkan cili sos. Tambahkan bahan lain seperti gula, garam dan serbuk perasa mencukupi.

5. Masukkan bahan yang sudah digoreng terlebih dahulu seperti kentang, tauhu dan tempe.

6. langkah terakhir, masukkan suhun dan gaul sehingga bahan semua sebati. Ia boleh disajikan bersama nasi panas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:19 AM