PELBAGAI jenis makanan disediakan di D’Pondok.
PELBAGAI jenis makanan disediakan di D’Pondok.
IKAN patin masak tempoyak.
IKAN patin masak tempoyak.
MASAK lemak pisang putik punya kelainan tersendiri.
MASAK lemak pisang putik punya kelainan tersendiri.
ABD Majid menunjukkan menu pilihan pelanggan.
ABD Majid menunjukkan menu pilihan pelanggan.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Rambang selera! Itu yang dapat diperkatakan tatkala mata ‘menujah’ satu persatu lauk-pauk sajian tradisional Pahang yang menjadi hidangan tengah hari di Restoran Ulam D’Pondok dan Kafe D’Pondok (D’Pondok).

Bukan mata sahaja terpaku melihat sajian yang berderet, tetapi hati juga sukar membuat pilihan kerana dulang lauk- pauknya bersilih ganti ketika mahu membuat pilihan sajian berkonsep selera kampung itu.

Bukan penulis sahaja yang mengalami situasi itu, pelanggan lain juga sukar membuat pilihan lebih 75 jenis masakan yang disediakan.

Manakan tidak, aroma ikan patin masak tempoyak disulam dengan ikan siakap stim serta masak lemak daging salai dan sambal tempoyak pucuk ubi ikan bilis cukup harum sehingga mampu mengecurkan air liur sesiapa sahaja yang melihat.

Pemilik restoran berkenaan Abd Majid Abd Wahid, 41, berkata dia memilih hidangan tradisional Pahang kerana penyediaan yang agak mudah dan tidak mengambil masa lama untuk disajikan kepada pelanggan.

Menggunakan slogan ‘Sedap, Murah dan Halal’ menjadikan restoran yang sudah memasuki tahun ketiga operasi ini menjadi pilihan peminat tegar sajian tradisional Pahang.

“Kena datang waktu lain pula untuk menikmati masakan yang sedap dan panas-panas ini,” kata penulis kepada Abd Majid usai menjamu selera.

Restoran D’Pondok yang beroperasi di Jalan Tun Ismail 6, Kuantan dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula jam 7 pagi hingga 5 petang untuk nasi campur sebelum dikuti masakan barat hingga jam 12 tengah malam.

Menurut Abd Majid, D’Pondok yang beroperasi sejak tiga tahun lalu memperuntukkan hampir 40 kilogram ikan patin, tilapia, kerapu dan 30 hingga 40 ikan laut untuk pelbagai jenis masakan bergoreng, berkuah dan bakar.

“Kebanyakan masakan mengikut resipi tradisional Pahang terutama hidangan berasaskan ikan sungai,” katanya.

Menurutnya, ilham membuka kedai makan menghidangkan masakan tradisional Pahang dibuat selepas melihat permintaan terhadap masakan itu.

“Bukan sahaja patin tempoyak, patin goreng berlada juga mendapat sambutan dan saya menggunakan 12 kilogram ikan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Selain itu, katanya, masak lemak pisang putik dan sambal pucuk ubi tempoyak ikan bilis turut mendapat permintaan pelanggan yang ‘kemaruk’ dengan sajian kampung.

Abd Majid tidak menafikan keenakan sesuatu masakan bergantung kepada kemahiran tukang masak dan bahan masakan yang cukup.

“Air tangan tukang masak paling penting dalam penyediaan masakan. Mereka arif dengan adunan, rempah-ratus dan bahan masakan yang perlu disediakan dalam kuantiti yang tepat bagi menghasilkan sajian enak dan lazat.

“Ia umpama menyediakan hidangan untuk keluarga sendiri dan masak dengan penuh penuh ikhlas,” katanya.

D’Pondok turut menyediakan beberapa jenis sambal seperti tempoyak, sambal kicap, sambal belacan dan sambal bawang potong sebagai ‘penyedap’ ulaman pokok sabung nyawa, ulam raja, salad, petai dan timun. Memang mengecurkan air liur pelanggan.

Pelanggan boleh menikmati hidangan yang masih panas kerana lauk silih dimasak slih berganti seperti ikan cencaru dan ikan keli goreng berlada, ikan tilapia goreng masam manis, masak lemak daging salai, siakap stim, kerapu tiga rasa, kari kambing, ayam goreng percik, ayam goreng berempah.

Lebih 20 menu sayuran berkuah dan goreng seperti masak lemak labu, lemak tauge, lemak cekur manis campur keledek, rebung masak lemak kuning, kerabu mangga, kerabu jantung pisang dan sambal bilis tempoyak turut disediakan.

Melihat pada harganya, D’Pondok antara restoran yang mengamalkan jualan ‘kasih sayang’ apabila sajiannya dijual pada harga serendah 50 sen hingga RM1.50 untuk sayur dan RM3.50 hingga RM7 untuk masakan berasaskan ikan dan ayam.

Selain hidangan tengah hari yang, D’Pondok turut menawarkan sarapan pagi seperti pulut sambal, lontong, cucur udang, bubur nasi, nasi lemak dan pelbagai jenis roti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:41 PM