Keadaan kereta kakitangan AIM yang dirosakkan. - Foto  SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Keadaan kereta kakitangan AIM yang dirosakkan. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Kira-kira RM14,000 wang kutipan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Daerah Kerian disamun dua lelaki bersenjata parang di depan sebuah surau di Jalan Terusan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, cermin tingkap depan dan belakang sebelah kiri kereta Toyota Vios kakitangan AIM dirosakkan suspek sebelum mereka melarikan wang tunai yang berada dalam kenderaan berkenaan.

Seorang pekerja AIM yang enggan dikenali berkata, mereka berada di surau berkenaan menjalankan kutipan wang mingguan daripada pelanggan di kawasan itu.

Menurutnya, sejurus selesai melakukan kutipan wang, seorang kakitangan memandu kenderaannya untuk menghantar kutipan wang itu ke pejabat.

"Ketika keluar dari surau, kenderaan mangsa diserang dua lelaki tidak dikenali, memakai topi keledar yang menunggang motosikal yang tidak dapat dipastikan jenisnya.

"Wang tunai berjumlah lebih RM 14,000 hasil kutipan mingguan dilarikan dua lelaki terbabit yang melarikan diri menghala Parit Buntar," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 3:13 PM