Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan Akaun Emas mulai 1 Januari 2017 sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berusia 55 tahun dan ke atas.

Melalui inisiatif ini, caruman baru yang diterima selepas usia 55 tahun secara automatik dimasukkan ke Akaun Emas dan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai usia 60 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan memandangkan purata rakyat Malaysia kini masih bekerja selepas usia 55 tahun.

“Kebanyakan pencarum masih bekerja selepas usia 55 tahun dan umur minimum persaraan yang ditetapkan adalah 60 tahun. Dana persaraan kedua ini dijangka membantu pencarum sebagai persediaan yang lebih baik menjelang usia persaraan sebenar,” katanya selepas taklimat media mengenai Penambahbaikan Skim KWSP di sini, semalam.

Shahril berkata, dengan adanya Akaun Emas ini, pencarum yang masih bekerja selepas usia 55 tahun akan memiliki dua akaun dan kedua-duanya akan dibayar jumlah dividen yang sama.

“Akaun semasa yang digelar Akaun 55 kekal dengan syarat dikenakan sebelum ini di mana pencarum boleh mengeluarkan semua caruman atau sebahagian saja.

“Baki caruman untuk Akaun 55 tetap menerima dividen manakala Akaun Emas yang bermula dari RM0 turut akan dikreditkan dengan jumlah dividen sama. Malah, pencarum boleh membuat pengeluaran daripada Akaun 55 pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas Rundingan Ahli yang dijalankan April lalu di mana KWSP mencadangkan beberapa penambahbaikan ke atas skim semasa khususnya untuk mewujudkan Akaun Emas.

“Tempoh lima tahun yang ditetapkan untuk Akaun Emas diharap dapat membantu pencarum membuat persediaan menjelang persaraan dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 8:00 AM