Hafiz Ithnin dan Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Cadangan inisiatif penambahbaikan satu oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyentuh mengenai menyelaras usia pengeluaran dengan usia persaraan minimum adalah bertjuan untuk menangani isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli KWSP dalam jangka masa panjang.

Mengikut statistik KWSP, 78 peratus ahlinya pada usia 54 tahun tidak mencapai simpanan asas mereka iaitu RM196,800 dan 68 peratus ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ketika ini, pencarum dibenar mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun dan anjakan umur pengeluaran simpanan bermakna umur ini ditingkatkan kepada 60 tahun.

Ini bermakna, pencarum akan dibenarkan mengeluarkan simpanan mereka hanya apabila mereka mencecah usia 60 tahun.

Beliau berkata, jika mengambil paras garis kemiskinan sebanyak RM800 sebagai perbelanjaan bulanan, RM50,000 itu hanya bertahan selama lebih kurang lima tahun sahaja.

“Walhal, tempoh persaraan dijangka adalah selama 20 tahun, iaitu dari umur 55 tahun hingga ke 75 tahun. Ini bermakna, akan ramai dari pesara yang tidak akan mampu untuk menjalani kehidupan sebagai pesara dengan selesa.

“Sebagai satu institusi keselamatan sosial, KWSP mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan tabungan ahlinya agar mereka mampu menikmati kehidupan terjamin dan selesa walaupun sudah bersara,” katanya pada taklimat media.

Terdapat dua cadangan di dalam inisiatif penambahbaikan bagi menyelaras usia pengeluaran dengan usia persaraan minimum iaitu pertama, umur pengeluaran semua simpanan dianjakkan dari umur 55 ke 60 tahun secara berperingkat selama 15 tahun dengan kenaikan satu tahun bagi setiap tiga tahun.

Cadangan kedua, pengeluaran usia 55 tahun semasa dikekalkan. Caruman baru yang diterima mulai umur 55 hingga 60 tahun tidak boleh dikeluarkan sehingga ahli mencapai umur 60 tahun.

Shahril berkata, pilihan secara berperingkat itu diperkenalkan di negara lain yang berdepan dengan situasi sama.

“Cadangan untuk melaksanakannya secara berperingkat bagi membolehkan ahli menerima sistem baru ini secara tidak tergesa-gesa.

“Tambahan, cadangan ini juga membantu ahli untuk menguruskan corak perbelanjaan mereka sebelum membuat pengeluaran penuh mengikut situasi selepas tempoh persaraan,” katanya.

Katanya, faktor jangka hayat yang lebih panjang dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini diunjurkan mencecah 75 tahun memerlukan ahli KWSP mempunyai simpanan yang cukup untuk kelansungan hidup.

Menurutnya, tempoh persaraan yang panjang memerlukan simpanan yang mencukupi untuk menampung kos seperti perubatan dan sara diri.

“Cadangan ini masih belum dimuktamadkan dan kita memerlukan maklum balas daripada ahli yang boleh membuat keputusan mereka menerusi laman sesawang www.kwsp.gov.my 21 April sehingga 4 Mei ini yang mana ahlinya boleh memberikan pandangan dan komen berkaitan cadangan serta pilihan berkenaan menerusi i-Akaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:08 AM