Hafiz Ithnin dan Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Simpanan persaraan ahli menjadi keutamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain sentiasa prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh ahli berikutan senario masa kini termasuk perubahan kos sara hidup.

KWSP memberi nilai tambah kepada ahlinya untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang cukup agar dapat bertahan di usia emas mereka kerana pada masa ini, purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 75 tahun, manakala umur persaraan ialah 60 tahun selepas dinaikkan dari 55 tahun pada 2013.

Ini bermakna generasi pesara masa kini akan bergantung kepada simpanan KWSP mereka selama anggaran 15 hingga 20 tahun. Bagaimanapun, berdasarkan bukti yang diperoleh, purata simpanan ahli hanya dapat bertahan selama lima tahun dan ini akan mewujudkan jurang antara 10 hingga 15 tahun tanpa sebarang dana peribadi.

Menerusi inisiatif penambahbaikan bagi memastikan ahli terus menerima dividen sehingga umur 100 tahun memperlihatkan bahawa KWSP komited untuk memberi jaminan setiap pencarum dapat meningkatkan simpanan persaraan mereka.

Dalam cadangan inisiatif ini, tempoh bayaran dividen dipanjangkan daripada umur 75 tahun kepada 100 tahun dan ia bertujuan agar ahli terus menerima bayaran dividen sehingga umur 100 tahun bagi wang yang tidak dikeluarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sekiranya tiada sebarang pengeluaran atau tuntutan dibuat oleh ahli atau waris selepas umur 100 tahun, wang simpanan terbabit akan dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut di bawah Kementerian Kewangan.

Katanya, walaupun wang terbabit sudah berada di Pendaftar Wang Tidak Dituntut, waris masih boleh mengeluarkan wang berkenaan termasuk dividen oleh KWSP yang diberi sepanjang tempoh itu.

“Manfaat daripada inisiatif ini sudah tentu ahli berpeluang menambah simpanan dalam jangka masa 25 tahun dan selagi mana wang terbabit berada dalam KWSP, ahli layak menerima dividen.

“Terdapat juga ahli yang sudah melepasi umur persaraan yang masih menyimpan wang mereka di dalam KWSP untuk menikmati dividen yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, KWSP juga mempunyai jaminan minimum dividen iaitu sebanyak 2.5 peratus dan disebabkan itu juga melihat kepada statistik terdapat kira-kira dua juta ahli yang sudah mencapai usia bersara masih lagi menyimpan dengan KWSP.

Shahril berkata, malah terdapat sebanyak 1.5 juta ahli KWSP yang berusia 55 hingga 75 tahun tidak menuntut atau mengeluarkan lagi simpanan persaraan mereka untuk menikmati dividen tahunan yang diberi.

Beliau berkata, lebih kurang 350,000 ahli yang berumur 75 tahun ke atas turut memilih untuk menggandakan wang simpanan persaraan mereka.

“KWSP diberikan mandat bukan sahaja untuk melindungi, tetapi bagi meningkatkan aset ahli dengan memberikan pulangan yang setimpal. Berpandukan polisi pelaburan yang ketat, KWSP menyasarkan untuk memberikan sekurang-kurangnya dua peratus pulangan benar untuk tempoh purata tiga tahun kepada ahli,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu sahaja sebanyak RM36.66 bilion bayaran dividen diberikan kepada ahli KWSP dengan kadar 6.75 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat berbanding 6.35 peratus pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:36 AM