Kuala Lumpur: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih belum mempunyai i-Akaun untuk menyampaikan maklumat balas mereka berhubung cadangan mengeluarkan wang simpanan pada usia 55 tahun atau 60 tahun mempunyai pelbagai cara untuk mendaftar i-Akaun.

Mereka boleh mendaftar secara dalam talian (www.kwsp.gov.my), menghubungi pusat panggilan KWSP, datang sendiri ke Kiosk KWSP atau terus ke kaunter KWSP untuk tujuan itu.

“KWSP turut menyediakan kemudahan komputer riba di semua cawangan bagi tujuan memudahkan pencarum mendaftar i-Akaun mereka,” kata pegawai di Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP di Jalan Raja Laut, di sini.

“Bagi yang menghadapi kesulitan seperti tidak mahir menggunakan komputer atau mempunyai masalah membaca, kakitangan kaunter sedia membantu mereka dalam menyampaikan maklumat balas itu,” katanya.

Sehingga ini, terdapat kira-kira 1.43 juta pencarum yang mempunyai i-Akaun daripada sejumlah 14 juta pencarum KWSP dan pencarum mempunyai dua minggu bermula hari ini untuk menyatakan pilihan mereka.

KWSP semalam mencadangkan dua pilihan pengeluaran wang caruman ahli dengan yang pertama umur pengeluaran penuh dinaikkan dari 55 ke 60 secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun atau pencarum membuat pengeluaran penuh pada usia 55 tahun dan caruman selanjutnya hanya boleh dikeluarkan pada usia 60 tahun.

Tiga cadangan lain adalah menyelaraskan kuantum caruman minimum dengan undang-undang gaji minimum, melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 tahun kepada 100 tahun, dan memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim sedia ada. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 9:11 PM