PASUKAN ZZE FC ceria dengan trofi dimenangi mereka.
PASUKAN ZZE FC ceria dengan trofi dimenangi mereka.
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung, Perak: Zahin Zahir Enterprise (ZZE FC) muncul juara Piala Timbalan Presiden selepas menewaskan Persatuan India Dinding (DIA) pada aksi final kejohanan liga bola sepak veteran Daerah Manjung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini, baru-baru ini.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebelum ZZE FC mengunggulinya 4-3.

Pengurus ZZE FC Leftenan Mohd Ridzuan Kamarudin berkata, latihan intensif selama enam bulan dan semangat berpasukan adalah kunci utama kejayaan pasukan itu.

Katanya, biarpun pemain berusia 40 tahun ke atas namun ia tidak menghalang semangat dan stamina pemain di padang biarpun perlawanan sengit dengan pasukan lawan yang mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Pasukan yang dilatih oleh Leftenan Nor Azmi Ibrahim berjaya membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal cergas di padang dan kami mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan lain dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) setiap minggu sebagai latihan.

“Kami juga mempraktikkan elemen tentera yang mementingkan disiplin selain kelebihan mempunyai lima pemain yang juga bekas wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

“Walaupun seri 2-2 pada hujung perlawanan dengan dua gol namun gol kemenangan pada penentuan sepakan penalti berjaya mengangkat pasukan kami bergelar juara buat julung kalinya,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan ZZE FC membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan dan pingat manakala DIA menerima RM1,000 serta pingat.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Manjung Mohd Ithnain Md Yusop berkata, kejohanan itu kali pertama diadakan.

Kejohanan itu menjadi pentas bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak bagi kategori veteran untuk mewakili Manjung ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:25 AM