Pasukan ragbi TDM bersama piala kejuaraan. FOTO ihsan Kesatuan Ragbi Kebangsaan
Pasukan ragbi TDM bersama piala kejuaraan. FOTO ihsan Kesatuan Ragbi Kebangsaan
Meor Riduwan Meor Ahmad


PASUKAN Ragbi Tentera Darat Malaysia (TDM) menjuarai Kejohanan Ragbi 15 Sebelah Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 selepas menewaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 27-24 pada final di Padang Kem Institut Kejuruteraan Tentera Darat Port Dickson, hari ini.

Ini kejayaan kedua berturut-turut dicatatkan TDM menerusi bimbingan jurulatih Pegawai Waran II, Razif Zainol Abidin.

Pengurus pasukan, Mejar A Tahar A Manan berkata perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan terikat 24 sama sehingga tamat masa permainan.

"TDM bagaimanapun berjaya mendapatkan mata kemenangan melalui sepakan penalti pada masa tambahan yang disempurnakan oleh Sarjan Farid Ahmad untuk kemenangan mutlak 27-24.

"Kemenangan itu amat bermakna apabila kita mempertahankan kejuaraan dan tahniah kepada jurulatih dan semua pemain yang bermain sedaya upaya hingga muncul juara," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lebih istimewa Farid selaku kapten dan perancang gerakan TDM turut dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Sementara itu, skuad ragbi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul johan kategori ragbi tujuh sepasukan dalam kejohanan sama menewaskan TUDM, 19-10.

Kejohanan disaksikan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Yahya dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:00 PM