SUSU membantu membaiki otot selepas bersenam. - FOTO Google
SUSU membantu membaiki otot selepas bersenam. - FOTO Google
Nor’ Asyikin Mat Hayin


Mengikut Garis Panduan Diet Malaysia 2020, susu adalah satu daripada makanan paling lengkap yang mengandungi hampir semua nutrien penting diperlukan badan.

Ia kaya dengan kalsium, lemak, karbohidrat, protein, fosforus, magnesium dan juga vitamin seperti tiamina, niasina, riboflavina serta vitamin A.

Kandungan nutrien yang sukar ditandingi dengan makanan lain menjadikan susu tergolong antara makanan unggul.

Bagi rakyat Malaysia, susu sentiasa menjadi sebahagian keperluan penting daripada diet mereka.

Malangnya, dengan pelbagai pilihan produk tanpa tenusu dan alternatif lain, pengambilan susu menjadi topik hangat dibahaskan dalam bidang pemakanan.

Sehingga ada yang tertanya-tanya sama ada susu itu menyihatkan atau memudaratkan badan.

Bagaimanapun, pakar diet dan pemakanan serta atlet pasti bersetuju bahawa terdapat beberapa manfaat besar yang diperoleh daripada amalan minum segelas susu setiap hari.

Pakar Perunding Diet Indra Balaratnam berkongsi khasiat susu sebagai satu daripada makanan paling penting kepada kesihatan.

1. Baik untuk kesihatan tulang

Kalsium ialah mineral yang diperlukan untuk membina dan mengekalkan tulang yang sihat.

Vitamin D pula membantu badan menyerap kalsium daripada makanan yang dimakan.

Sumber utama bagi kedua-dua nutrien ini adalah daripada susu.

Kesihatan tulang perlu dijaga baik, lebih-lebih lagi kepada wanita yang sudah hampir menopaus.

Wanita pada umur 30 hingga 50 tahun belum mengalami masalah kehilangan kepadatan tulang.

Oleh itu, sangat penting mendapatkan kalsium secukupnya bagi mengelakkan masalah itu yang berlaku semasa menopaus.

Pengambilan kalsium yang mencukupi boleh membantu memperlahankan kehilangan kepadatan tulang. Ini untuk memastikan tulang kekal lebih sihat dan mencegah osteoporosis.

SUSU minuman unggul kerana tinggi kandungan nutrien. - FOTO Google
SUSU minuman unggul kerana tinggi kandungan nutrien. - FOTO Google

2. Membantu membaiki otot selepas bersenam

Sebagai sumber protein bukan daging yang bermutu tinggi, susu membantu membina otot tanpa lemak dan juga membantu pemulihan otot selepas bersenam.

Kajian mendapati bahawa pengambilan susu selepas bersenam berupaya memberi manfaat kepada sintesis protein.

Malah, segelas susu 250 mililiter (ml) membekalkan kira-kira lapan gram protein. Ia menyamai khasiat 1.5 biji telur.

Susu juga pilihan lebih berkesan berbanding minuman sukan yang dirumuskan untuk mengekalkan tahap penghidratan selepas bersenam.

Ia boleh didapati pada kos yang lebih rendah dengan kebaikannya dapat meningkatkan prestasi sukan.

Sebab itu, atlet elit bergantung dengan susu untuk membekalkan tenaga bagi mencapai prestasi tinggi.

3. Membantu anak kecil atau remaja membesar

Menurut Garis Panduan Diet Malaysia bagi kanak-kanak dan remaja, kanak-kanak sewajarnya mendapatkan dua atau tiga sajian susu sehari.

Pengambilan susu dan produk tenusu amat penting bagi menggalakkan kesihatan tulang semasa zaman kanak-kanak serta remaja.

Ramai pakar kesihatan menasihati ibu bapa supaya tidak menggantikan susu lembu dengan produk bukan tenusu berasaskan tumbuhan.

4. Meningkatkan fungsi kognitif

Penggunaan susu dalam masakan atau sebagai snek sampingan boleh membantu mengekalkan ketajaman daya ingatan.

Satu kajian dikendalikan di University of Kansas Medical Center mendapati, dewasa lebih tua yang minum tiga cawan susu tenusu sehari boleh meningkatkan tahap 'glutation' (GS) dalam otak mereka.

GSH adalah sejenis antioksidan kuat yang memberikan perlindungan terhadap kehilangan kognitif dan gangguan berkaitan umur.

Satu lagi kajian dalam jurnal 'Nutrients' mendapati bahawa produk tenusu skim, tenusu wet dan susu mentega dikaitkan dengan peningkatan fungsi eksekutif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 6:43 AM