Generasi ketiga kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi Nissan X-Trail bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi selepas pengedarnya, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membuka tempahan kenderaan itu, minggu lalu.

Selepas kali pertama diperkenalkan pada Pameran Motor Frankfurt 2013, ia mengambil masa lebih setahun untuk dilancarkan di negara ini.

Ia juga menjadi model SUV terlaris di Jepun selepas dilancarkan pada Januari lalu dan turut dipasarkan di Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Filipina, Indonesia serta Thailand.

Nissan X-Trail terbaru itu digabungkan dengan teknologi kawalan kerangka termaju di dunia untuk memberi pengalaman pemanduan lancar dan menyeronokkan.

Ia merangkumi Sistem Kawalan Pandu Aktif yang mengurangkan pergerakan kenderaan dirasai pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek untuk mening­katkan keselesaan.

Ia juga dilengkapi Sistem Aktif Brek Enjin bagi mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau memberhentikan kenderaan.

Sebagai tambahan, Sistem Kawalan Aktif 'Trace' yang pertama pada jentera Nissan mengenakan tekanan brek kepada roda tertentu secara automatik untuk membantu pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh.

Bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan dalam dua varian membabitkan 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD.

Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 171 PS pada 6,000 rpm dan tork setinggi 233 Nm pada 4,000rpm.

Ia juga dilengkapi sistem 'All Mode Intelligent 4X4' yang menawarkan pilihan pacuan dua roda, Mode Auto atau Lock untuk pacuan empat roda sepanjang masa.

Ciri lain yang memberi lebih keselesaan dan keselamatan adalah tempat duduk 'Sifar Graviti' untuk mengurangkan kepenatan.

Bagi 2.0L 2WD pula, ia meng­gunakan rangkaian kuasa MR20DD bersama sistem bahan api pancitan terus dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 144 PS dengan tork setinggi 200 Nm.

Kedua-dua varian itu dileng­kapi transmisi Xtronic CVT de­ngan mode manual tujuh kelajuan serta sistem ECO untuk menawarkan penjimatan bahan api.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Peranca­ngan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, jentera itu dijual 250,000 unit di seluruh dunia sejak pelancaran globalnya pada awal tahun ini.

Menurutnya, ia memenangi pelbagai anugerah di beberapa negara seperti Indonesia, Mexico dan United Kingdom.

Lima warna ditawarkan iaitu perak, hijau zaitun, hitam, biru dan putih, yang mana varian 2.5L 4WD dijual di bawah RM170,000 mana­kala kurang RM150,000 untuk 2.0L 2WD.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:02 AM