RUANG tempat duduk selesa.
RUANG tempat duduk selesa.
BUTANG All Mode Intelligent 4X4-I.
BUTANG All Mode Intelligent 4X4-I.
METER kelajuan lebih menarik.
METER kelajuan lebih menarik.
STERENG dilengkapi butang akses
STERENG dilengkapi butang akses
MAMPU mengharungi laluan lasak.
MAMPU mengharungi laluan lasak.

Bagi penulis, generasi ketiga kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail yang diperkenalkan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada awal tahun ini, lebih baik berbanding model sebelum ini.

Jika mengikuti perkembangan generasi pertama dan kedua Nissan X-Trail, ia hanya SUV yang mempunyai lima tempat duduk, malah tiada sangat keistimewaan berhubung teknologinya.

Ketika mula berkecimpung dalam wartawan permotoran, penulis pernah menguji generasi kedua Nissan X-Trail dari Kuala Lumpur ke Port Dickson dan nyata kuasa dibekalkan pada jentera itu tidak hebat jika dibandingkan dengan generasi terbaru ini.

Bukan bersikap berat sebelah, tetapi generasi ketiga ini mempunyai watak tersendiri, lebih-lebih lagi prestasi enjin yang digabungkan dengan transmisi Xtronic CVT tujuh kelajuan terbaru sungguh berkuasa.

Kehebatannya diakui selepas menyertai pandu uji Nissan X-Trail generasi terbaru dari Kuala Lumpur ke Lumut, Perak baru-baru ini. Bagi sesi pandu uji itu, penulis dibekalkan dengan dua varian enjin iaitu 2.0 (2WD) dan 2.5 liter (4WD).

Bagi varian 2.5 liter, ia dilimpahi pelbagai teknologi terbaru yang lebih gah selepas dilengkapi All Mode Intelligent 4X4-I untuk mod pemanduan mengikut keadaan jalan.

Mod ditawarkan membabitkan pacuan dua roda, Mod Auto yang menukar pengedaran tork antara roda depan dan belakang secara automotik serta Mod Kunci untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa.

Menguji kehebatannya, penulis diberi peluang memandu di kawasan berbukit di Batu Arang, Selangor dengan laluan ala ‘off-road’ untuk mencuba mod yang ditawarkan.

Menggunakan mod itu nyata lebih mudah kerana ia boleh ditukar dengan hanya memulas butang yang terletak di konsul tengah.

Sebaik menukar kepada Mod Kunci, ia sememangnya memberi kuasa penuh kepada keempat-empat roda untuk melalui laluan lasak, tetapi secara ‘kasarnya’ ia bukan dicipta bagi tujuan berkenaan.

Ia juga ditawarkan dengan Advanced Hill Descent Control (HDC) yang diaktifkan secara automatik di dalam kedudukan pacuan 4WD Mod Kunci bagi me­ngelak kenderaan menggelongsor laju ketika menuruni curam.

Secara kesimpulan mengenai kuasa enjinnya, penulis menganggap prestasi dibekalkan sangat mantap dan hebat berbanding model terdahulu.

Bagi model terdahulu, penulis rasakan ia sedikit ‘lembap’, tetapi generasi ini lebih tangkas serta boleh mencapai kelajuan mencecah 180 kilometer sejam (km/j).

Ketika kelajuan itu, jentera masih stabil dengan kedapan bunyi lebih baik berbanding model terdahulu. Ini kerana bunyi dari enjin kurang meresap masuk ke dalam ruang kabin.

Berdasar spesifikasinya, varian tertinggi 2.5L 4WD dikuasakan enjin QR25DE-k2 mampu menghasilkan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 233 Nm pada 4,000 rpm.

Varian 2.0L 2WD pula dijana oleh enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 142 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 200 Nm pada 4,400 rpm.

Malah, jentera ini dilengkapi beberapa teknologi canggih untuk ditawarkan kepada pengguna di negara ini.

Biarpun ditawarkan dengan dua beg udara, ia ciri keselamatan pasif yang akan diaktifkan ketika berlaku kemalangan.

Namun, Nissan X-Trail generasi terbaru dilimpahi ciri keselamatan aktif yang membantu menghindarkan kemalangan di jalan raya.

Buat kali pertama bagi kenderaan Nissan, ia dilengkapi Active Trace Control yang memberi kuasa brek kepada tayar tertentu bagi membantu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh dengan stabil.

Selain itu, ia disokong dengan sistem Brek Aktif Enjin (AEB) dan Kawalan Pemanduan Aktif (ARC) untuk meningkatkan lagi ciri keselamatannya.

Berbanding beberapa model pesaingnya, Nissan X-Trail yang baru ini ditawarkan buat kali pertama dengan memuatkan konfigurasi tempat duduk 5+2. Lima tempat duduk penumpang sedia ada dan barisan ketiga boleh dilipat untuk dijadikan ruang kargo.

Bagaimanapun, tempat duduk barisan ketiga itu hanya sesuai untuk penumpang kanak-kanak kerana ruangnya sedikit sempit.

Kekemasan dalamannya diperhalusi dengan menggunakan material lembut berkualiti tinggi pada papan pemuka dan perehat tangan di konsol tengah.

Tempat duduknya pula dibangunkan dengan konsep graviti sifar yang membantu mengurangkan keletihan penumpangnya. Kapasiti kargonya boleh mencecah sehingga 1,520 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat mendatar.

Menariknya, penulis tidak perlu lagi bimbang untuk meletak kereta ini di kawasan sempit selepas dilengkapi Monitor Pemandangan Sekeliling 360 darjah yang pertama dalam kelasnya.

Sementara itu, imej SUV itu tampak lebih matang dan ranggi berbanding model terdahulu yang dilihat berkotak-kotak.

Kini ia hadir dengan garisan lembut yang mempunyai seni baru dengan tampak moden dan bergaya, sekali gus bersesuaian untuk kegunaan urban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:07 AM