ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang dihempap Perodua Viva miliknya selepas dirempuh sebuah  Proton Gen 2. FOTO Khairul Hamizi Ramee
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang dihempap Perodua Viva miliknya selepas dirempuh sebuah Proton Gen 2. FOTO Khairul Hamizi Ramee
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Marang: Dua lelaki berusia 55 tahun yang sedang berehat di bangku perhentian bas selepas selesai menunaikan solat Zuhur cedera dirempuh sebuah kereta Perodua Viva di Kampung Pulau Kerengga, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila sebuah Proton Gen2 dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas lalu melanggar sebuah kereta Perodua Viva yang diparkir di hadapan perhentian bas berkenaan menyebabkannya bergerak lalu merempuh empat lelaki itu.

Insiden itu menyebabkan mangsa, Musa Ngah yang juga pemilik Perodua Viva itu terperosok di bawah kenderaannya dan seorang lagi mangsa, Ibrahim Muda tercampak dari bangku.

Musa yang parah di kepala dan badan kini koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu manakala Ibrahim yang cedera di dada hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Dua lagi rakan mereka yang berada di tempat kejadian bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 9:04 PM