JENAZAH Musa dibawa turun dari rumahnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pak Maseh, pagi ini.
JENAZAH Musa dibawa turun dari rumahnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pak Maseh, pagi ini.
Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Lelaki yang terperosok di bawah kereta sendiri selepas dirempuh sebuah kereta lain di pekarangan Masjid Pulau Kerengga, Marang, petang semalam meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada jam 1 pagi tadi.

Mangsa, Musa Ngah, 55, yang parah di kepala dan badan hanya bertahan 13 jam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ.

Bilal Masjid Kampung Pulau Kerengga yang turut parah dalam kemalangan itu masih kritikal di HSNZ.

Harian Metro semalam melaporkan sebuah Proton Gen 2 terbabas lalu merempuh sebuah Perodua Viva yang diparkir di pekarangan Masjid Pulau Kerengga.

Rempuhan kuat itu menyebabkan dua daripada empat jemaah masjid parah akibat dirempuh Perodua Viva terbabit.

Arwah Musa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pak Maseh, di sini, 10.45 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 3:18 PM