IZZUE Islam
IZZUE Islam
RAJA Ilya
RAJA Ilya
Oleh Norhayati Nordin

Meskipun perlawanan akhir pertama Piala AFF 2014 antara Malaysia dengan Thailand di Bangkok baru-baru ini tidak berpihak kepada Harimau Malaya, namun peluang masih ada.

Tewas 0-2 kepada pasukan lawan tidak bermakna Harimau Malaya sudah hilang taring. Pastinya, perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil malam ini menjadi medan pembakar semangat juang.

Apatah lagi, peluang beraksi di padang sendiri beserta sokongan ribuan penyokong setia Harimau Malaya yang sudah tentu akan turun padang menyaksikan perlawanan akhir ini, doa kemenangan dititipkan buat pasukan negara.

Selain ribuan penyokong, golongan selebriti turut tidak ketinggalan menjadi 'pemain ke-12' yang tidak jemu meneruskan sokongan kepada skuad kendalian Dollah Salleh itu.

-Aizat Amdan

"Saya tetap mengharapkan Harimau Malaya akan menang pada malam ini meskipun sudah ketinggalan dua gol.

"Saya juga yakin pasukan bimbingan jurulatih hebat Dollah Salleh ini mampu bangkit menentang pasukan lawan sekiranya strategi diatur dengan betul.

"Saya jangkakan Malaysia akan menang 5-1 serta menjulang trofi AFF dengan agregat kemenangan 5-3.

"Diharapkan juga pemain pasukan Harimau Malaya dapat menampilkan permainan yang mantap dan berkesan. Sekiranya rezeki kemenangan tak berpihak kepada negara pun, kita tewas bergaya."

-Ayda Jebat

"Biarpun kecewa dengan kekalahan pasukan negara kepada Thailand baru-baru ini, tetapi sokongan saya pada pasukan Harimau Malaya tidak pernah padam.

"Doa dan harapan saya semoga pasukan negara dapat mempamerkan persembahan terbaik berbekalkan kelebihan beraksi di padang sendiri.

"Jika ketika perlawanan dengan Vietnam di separuh akhir, pasukan kita boleh bangkit memberi saingan. Inikan pula pada perlawanan akhir.

"Saya mengharapkan Malaysia mampu menyumbat gol sekurang-kurangnya tiga atau lebih dalam gawang pasukan lawan, malam ini."

-Izzue Islam

"Setakat ketinggalan 0-2 kepada Thailand, saya yakin pasukan Harimau Malaya mampu bangkit memberikan tentangan pada perlawanan malam ini.

"Kelebihan dua gol oleh Thailand masih boleh lagi dikejar oleh pasukan negara. Apatah lagi, malam ini perlawanan berlangsung di gelanggang sendiri.

"Saya yakin peluang beraksi di Stadium Bukit Jalil ini takkan disia-siakan pasukan negara berikutan sokongan peminat yang datang pun pastinya ramai.

"Saya doakan yang terbaik untuk pasukan Malaysia dan semoga malam ini dapat menjaringkan gol yang banyak mungkin empat atau lebih untuk menang."

-Raja Ilya

"Saya pasti pasukan negara boleh menang dan menyumbat sebanyak tiga gol atau lebih pada perlawanan akhir kedua malam ini.

"Selain itu, kelebihan pasukan negara juga sudah tentulah pada kehebatan jurulatih Dollah Salleh yang banyak pengalaman dalam bola sepak di samping kita pun memiliki ramai pemain bagus.

"Apapun, saya mendapati mutu sukan bola sepak negara sebenarnya sudah meningkat ke tahap antarabangsa melalui persaingan Piala AFF 2014.

"Ditambah, pasukan negara pun pernah muncul juara Piala AFF pada 2010 lalu dan saya yakin malam ini nama Malaysia akan diharumkan lagi."

-Zizan Razak

"Saya doakan yang terbaik untuk perlawanan akhir Malaysia menentang Thailand malam ini dengan pasukan negara mampu menjaringkan empat gol.

"Ditambah dengan sokongan padu peminat bola sepak yang akan datang ke stadium pasti menyuntik semangat pemain-pemain untuk berjuang hingga memperoleh kemenangan.

"Saya juga yakin dengan kemampuan jurulatih Dollah Salleh dalam mengatur strategi untuk kesebelasan utama pasukan Harimau Malaya malam ini.

"Apapun, kepada peminat Malaysia menang atau kalah adalah adat bertanding dan teruskanlah memberi sokongan padu kepada pasukan negara.

-Soo Wincci

"Selagi wisel penamat tidak ditiup, saya yakin pasukan Harimau Malaya akan bangkit menentang Thailand habis-habisan untuk memperoleh kemenangan.

"Seperti harapan besar saya yang mengharapkan pasukan negara akan muncul juara, paling penting supaya pemain akan berlawan dengan penuh semangat juang.

"Namun, apa saja keputusan malam ini saya sebagai peminat yang menyokong akan terima dengan hati terbuka. Ini kerana, saya yakin semua pemain sudah berusaha keras.

"Saya percaya mereka sudah bermain sehabis baik dengan sedaya-upaya untuk meraih kemenangan buat negara."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:02 AM