Kuala Lumpur: Selepas menyaksikan rekod cemerlang Singapura selama 12 tahun menentang Malaysia di laman sendiri lebur kelmarin, bekas penyerang prolifik negara jiran itu Aleksandar Duric menganggap skuad Harimau Malaya sebagai calon pilihan ke final Piala AFF 2014 kali ini.

Sejak mengatasi Singapura 4-0 pada aksi Pestabola Merdeka 2002, Malaysia ketandusan kemenangan ke atas musuh tradisi itu dalam 14 pertemuan (berdasarkan rekod FIFA).

Namun Harimau Malaya menunggu waktu paling tepat untuk menghapuskan badi itu dengan mencatat kemenangan 3-1 pada aksi penuh dramatik perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 di depan ribuan penyokong Singa kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh mara ke separuh akhir dan bertemu Vietnam pada aksi timbal balik pertama di Shah Alam, Ahad ini sebelum ke Hanoi 11 Disember manakala Singapura tersingkir.

Antara faktor kejayaan itu keberanian Dollah mempertaruhkan pemain senior khususnya kapten Shukor Adan dan penyerang Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin walaupun keputusan itu kurang disenangi penyokong dan pengkritik tempatan.

Hakikat itu diakui sendiri Duric, 44, bekas pemain naturalisasi Singapura dari Serbia yang bersara di pentas antarabangsa selepas membantu pasukannya menjulang kejuaraan Piala AFF keempat pada Disember 2012.

“Malaysia pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman. Mereka lebih yakin dalam perlawanan malam ini (kelmarin) dan Singapura pula tidak mencipta banyak peluang untuk menang,” katanya yang menjaringkan 24 gol dalam 53 perlawanan antarabangsa.

Dalam 14 pertemuan sejak 2002, Malaysia hanya menang tiga kali, seri empat dan tewas tujuh dengan Singapura, termasuk pertemuan terakhir aksi kumpulan Piala AFF 2012.

Kelmarin, buat kali pertama Singapura turun tanpa pemain naturalisasi dan ternyata mereka tidak mampu memperlihatkan keupayaan seperti sebelum ini.

“Kalau tidak silap, dalam 10 perlawanan saya bermain, saya tidak pernah kalah kepada Malaysia termasuk perlawanan persahabatan. Saya juga menjaringkan sekurang-kurangnya tujuh gol dalam tempoh itu,” kata Duric.

Ketika ditanya mengenai peluang Malaysia mengatasi Vietnam pada aksi timbal balik separuh akhir nanti, beliau berkata pasukan negara mampu melangkah ke final jika mendapat bekalan selesa pada perlawanan pertama di Shah Alam.

“Saya tahu Malaysia ketiadaan Shukor (Adan) dan Amri (Yahyah) pada perlawanan pertama nanti tapi mereka perlu mendapatkan keputusan baik sebelum ke Hanoi.

“Saya lihat Vietnam tidak bermain dengan baik kecuali perlawanan terakhir kumpulan dan saya fikir Malaysia mempunyai kelebihan untuk layak ke final,” kata Duric.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:03 AM