Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Penyokong bola sepak nombor 1 Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir antara 500 warga kota Ipoh menonton perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dengan Thailand di Bangkok, malam kelmarin.

Tayangan siaran langsung dipancarkan ke skrin besar itu anjuran Kelab Peminat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA Fan Club) diadakan di kediaman Menteri Besar Perak itu.

Walaupun pasukan Harimau Malaya tumpas 0-2, sebahagian besar penonton tetap berbangga dengan aksi garang anak buah Dollah Salleh memberi tentangan kepada pasukan Gajah Perang yang turun selaku pasukan pilihan kejohanan.

“Salah satu kepincangan pemain Malaysia ialah kerana rasa hormat terlalu tinggi terhadap Thailand.

“Kita melakukan dua kesilapan dan terhukum dengannya. Begitupun perjuangan belum berakhir. Saya harap pemain negara akan bangkit Sabtu ini untuk menebus kehampaan ini.

“Jika mereka boleh menang di tempat sendiri, kita juga sepatutnya boleh melakukannya,” kata seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Fariq Iqbal

Sementara itu Norazali berharap Dollah memperkemas bahagian benteng dan berusaha meningkatkan persembahan Fadhli Shas yang ternyata tidak cukup mantap.

“Gol kedua Thailand itu mampu dihalang jika Fadhli berjaya menyekat pemain Thailand itu daripada membuat lorongan ke dalam kawasan gawang.

“Apapun perjuangan belum berakhir. Pemain negara perlu bekerja keras dan tunjukkan komitmen lebih 100 peratus untuk pertemuan kedua nanti.

“Saya yakin seluruh rakyat Malaysia akan berdiri di belakang Harimau Malaya seperti dilakukan ketika menentang Vietnam di separuh akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:07 AM