KERETA anak Maria Chin yang disimbah cat merah.
KERETA anak Maria Chin yang disimbah cat merah.
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Kereta anak lelaki Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah disimbah dengan cat merah di hadapan rumah mereka di Taman Bukit Mayang Emas, di sini, 3 pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian disedari adik Maria Chin selepas mendengar anjing di hadapan rumah mereka menyalak.

Katanya, apabila adiknya keluar dia lihat kereta milik anak lelaki Maria Chin yang berusia 18 tahun disimbah cat merah.

"Kenderaan berkenaan diletak di hadapan rumah yang didiami oleh Maria Chin sekeluarga dan cat berkenaan disimbah di bahagian cermin hadapan.

"Difahamkan ketika kejadian Maria Chin tiada di rumah dan dia dimaklumkan mengenai kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada adiknya.

"Susulan kejadian Maria Chin bersama anaknya tampil membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya, di sini pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan jenayah berkenaan.

Isnin lalu, Maria turut menerima ugutan jenayah daripada individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya daripada kumpulan Daish di negara ini.

Maria bersama aktivis BERSIH juga dijangka ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 4 petang ini, bagi menyerahkan satu memorandum mengenai kesemua kejadian yang berlaku itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 3:26 PM