GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Polis menahan seorang lelaki terbabit kes gangguan Ah Long dan menyimbah cat merah rumah mangsa di Subang Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada 16 Disember lalu jam 6.30 petang, seorang wanita menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada anak perempuannya berhubung rumahnya disimbah cat merah oleh Ah Long.

Menurutnya, wanita (pengadu) itu mengatakan bahawa bekas suaminya yang menghantar mesej itu kepada anak perempuannya.

"Pengadu turut memberitahu bahawa selain dirinya, kakak iparnya turut menerima mesej daripada Ah Long yang bertanyakan bekas suaminya itu.

"Pengadu mengesyaki bekas suaminya adalah individu yang bertanggungjawab meminjam wang daripada Ah Long sehingga menyebabkan gangguan itu.

"Bertindak atas maklumat, pada jam lebih 1.50 pagi semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menahan lelaki berusia 43 tahun di Jalan Sungai Long, Kajang.

"Turut dirampas adalah telefon bimbit, baju sejuk, motosikal, satu botol semburan, 14 botol sirap ros dan peralatan lain digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam enam kes di sekitar Subang Jaya dan Petaling Jaya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 9:19 PM