Keadaan treler yang terbalik di NKVE menghalang laluan ke utara. - Foto Ihsan Pembaca
Keadaan treler yang terbalik di NKVE menghalang laluan ke utara. - Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Sebuah treler membawa muatan gas amonia terbalik di Kilometer 19 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang hampir lima kilometer, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, treler berkenaan terbalik melintangi lebuh raya, menghalang semua laluan dari arah Shah Alam ke Kota Damansara.

Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pemandu treler itu hanya cedera ringan.

"Usaha mengalihkan tong gas amonia yang terjatuh dari treler sedang dijalankan.

"Anggota trafik dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu melancarkan aliran lalu lintas yang sesak," katanya.

Bernama melaporkan jurucakap Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) berkata, kemalangan itu menyebabkan lorong kiri dan tengah lebuh raya terhalang.

"Hanya lorong kanan boleh dilalui dan kenderaan yang terbabit dengan kemalangan sedang dialihkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 6:04 PM