LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEMUA lorong di Kilometer 434.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, di Hulu Selangor, dibuka semula kepada pengguna jalan raya kira-kira 10 pagi tadi.

Terdahulu, semua lorong di lokasi terbabit ditutup berikutan kemalangan membabitkan treler membawa muatan besi panjang melintang tengah jalan, awal pagi tadi.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman rasmi Twitter agensi berkenaan memaklumkan, semua lorong di lokasi terbabit sudah dibuka semula berikutan kerja pengalihan treler terbabit selesai dan trafik kembali lancar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pihaknya dimaklumkan kemalangan itu berlaku 4.56 pagi tadi.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Seberang Prai, Pulau Pinang menghala ke Shah Alam, hilang kawalan akibat mengelak dihimpit sebuah lori lain.

“Tindakan itu menyebabkan treler berkenaan terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri sebelum melintang dan menghalang lalu lintas di laluan terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sahimi berkata, pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan.

“Semua lorong di lokasi itu ditutup dan aliran trafik dilencongkan ke susur Plaza Tol Sungai Buaya. Bagaimanapun, keadaan trafik sudah beransur pulih,” katanya.

Berita berkaitan

Laluan ditutup

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:37 PM