WANG kertas palsu yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
WANG kertas palsu yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bintulu: Polis menahan lelaki memiliki dan menggunakan wang kertas palsu dalam serbuan di rumah di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan di rumah keluarganya pada 11.50 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komesial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hasil pemeriksaan polis merampas wang kertas palsu bernilai RM350 bersama peralatan mencetak.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek sudah menggunakan wang kertas palsu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM15,000 untuk membeli barangan dan mengisi petrol di sekitar daerah ini sejak setahun lalu.

"Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 1:50 PM