Daging haiwan eksotik yang dirampas polis dan JHB. FOTO Ihsan Polis
Daging haiwan eksotik yang dirampas polis dan JHB. FOTO Ihsan Polis
Erika George


Bintulu: Polis bersama Jabatan Hutan Bintulu (JHB) merampas 35 kilogram daging haiwan eksotik bernilai RM5,000 di sebuah premis makanan di Jalan Tanjung Kidurong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, hasil risikan serta makluman awam, serbuan dijalankan ke atas premis terbabit sekitar 9 malam.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis itu menjumpai pelbagai daging haiwan eksotik seperti daging beruang, labi-labi, pelanduk, landang, merejang, tenggiling, ular, kijang, biawak, rusa dan babi hutan.

Katanya, haiwan itu tersenarai sebagai haiwan terlindung sepenuhnya mengikut Seksyen 48(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

"Turut ditahan ialah tiga wanita tempatan berusia antara 23 hingga 47 tahun dipercayai penjaga premis dan pekerja di premis berkenaan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Zulkipli berkata, ketika serbuan, kesemua daging haiwan terbabit diletakkan dalam plastik berasingan dalam sebuah peti sejuk dalam premis terbabit dan akan dimasak sekiranya ada permintaan daripada pelanggan.

"Suspek ditahan manakala bahan rampasan kemudiannya dibawa ke Pejabat Jabatan Hutan Bintulu (JHB) bagi siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 37(2) dan Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang mana jika disabit salah, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara satu tahun berserta denda RM10,000.

"Polis dan JHB akan meneruskan pemantauan serta pemeriksaan dari masa ke masa dalam usaha membendung pemburuan, pemilikan dan penjualan haiwan liar terlindung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:32 PM