LELAKI yang parah selepas bergaduh di hadapan pusat karaoke. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI yang parah selepas bergaduh di hadapan pusat karaoke. FOTO Ihsan Pembaca
Erika George


Bintulu: Dua lelaki cedera dengan seorang daripadanya parah selepas terbabit dengan pergaduhan di Jalan Tanjung Kidurong, di sini, pagi hari ini.

Kedua-dua lelaki berkenaan bersama sekumpulan lelaki dikatakan bergaduh di hadapan sebuah pusat karaoke di lokasi itu, pada 8.18 pagi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan awam berhubung pergaduhan itu.

"Sebaik tiba di lokasi, polis menemui dua lelaki tempatan berusia 22 dan 35 tahun terbaring di kaki lima premis (pusat karaoke) dalam keadaan berlumuran darah.

"Hasil risikan lanjut, polis menahan lima lagi lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 27 tahun dipercayai terbabit dalam insiden itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Zulkipli berkata, kedua-dua lelaki dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

"Polis merampas dua bet (kayu pemukul) besbol, sebatang cota dan getah paip dipercayai digunakan ketika pergaduhan, selain dan perakam kamera lita tertutup (CCTV) untuk dijadikan bukti kes.

"Siasatan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar pergaduhan itu dan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 9:41 PM