Cik Pang

Setahu kita sebelum ini tidak ada satu pun gosip mengaitkan pelakon Nazrief Nazri dengan mana-mana wanita. Gosip cinta pelakon dikenali menerusi drama Lara Terindah itu jarang Cik Pang dengar.

Paling akhir pun ada yang mengaitkan dia akrab dengan Emma Maembong, rakan pelakon drama yang mereka bintangi bersama iaitu Nasi Minyak Kuah Cinta.

Terbaru, ada peminat memberitahu kawan Cik Pang dia terserempak dengan Nazrief bersama seorang wanita. Sudah beberapa kali dia terlihat Nazrief keluar bersama wanita itu dan sangat mesra. Mereka berjalan sambil berpegangan tangan.

Apabila diterangkan wanita bersama Nazrief itu, seorang lagi teman Cik Pang mengenalinya. Katanya, kalau tidak silap wanita bersama Nazrief itu seorang model dan pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja bersama dengan Mawar Rashid dan Raysha Rizrose.

Kalau dikatakan berjalan sambil berpimpin tangan, pasti wanita itu berjaya memenangi hati Nazrief.

Baguslah kalau begitu. Nazrief pun kembali solo selepas cinta terputus di tengah jalan kerana teman wanitanya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Cuma selepas ini harapan Cik Pang agar wanita yang mula menaruh hati kepada hero sedang mencipta nama itu tidak merentan kerana kecewa. Alah, dia baru bercinta, belum bernikah lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:03 AM