Ikutkan, gosip ini sudah dua tahun Cik Pang dengar tapi tiada sumber sahih yang boleh mengesahkannya. Malah tuan empunya diri pun sering saja menafikannya.

Sehinggalah satu hari teman Cik Pang bangkitkan semula khabar angin mengenai penyanyi popular Indonesia, Datuk Rossa didakwa sudah berkahwin dengan kerabat diraja Pahang.

Hal ini timbul apabila teman Cik Pang mendakwa ternampak penyanyi itu mesra bersama kerabat itu di satu hotel terkemuka di Sarawak, baru-baru ini.

Kebetulan teman Cik Pang berada di situ dan bertanya dengan beberapa orang di sana mengenai kehadiran penyanyi itu di hotel tersebut.

Mereka mendakwa, penyanyi itu berada di sana untuk bercuti dengan suaminya. Lebih mengejutkan, suaminya itu dipercayai kerabat diraja.

Sudah tentu kawan Cik Pang ternganga mendengar berita itu hingga tidak sabar menyampaikannya kepada Cik Pang. Kalau betul dakwaan itu, Cik Pang tumpang gembira sebab umum tahu nama Rossa tidak asing di negara kita. Penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-ayat Cinta itu memang sering ke Malaysia menjayakan undangan persembahan.

Bagi Cik Pang, jika betul berita yang Cik Pang dengar itu, terhapus juga gosip hangat yang memperkatakan Rossa kononnya bercinta dengan Afgan sebelum ini.

Apa pun, kita tunggu sajalah penyanyi Tegar itu sedia berkongsi berita gembira ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:06 AM