Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia disamun sekumpulan lelaki sehingga mereka kerugian kira-kira RM180,000 dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah hotel empat bintang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa pertama seorang lelaki berusia 33 tahun kerugian wang tunai RM38,000, sebuah kereta Toyota Estima, dompet, dokumen peribadi, kad ATM dan telefon bimbit.

Manakala, wanita berusia 37 tahun pula kerugian wang tunai Dolar Singapura $1,300, beg tangan, dokumen peribadi, kad ATM, lesen memandu dan dua telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kedua-dua mangsa bertemu di tempat kejadian bagi urusan kerja untuk mengambil wang RM38,000 iaitu bayaran gaji pekerja lelaki terbabit.

Bagaimanapun, ketika di tempat pertemuan itu, mereka didatangi seorang suspek yang turut membawa pisau sepanjang 17 sentimeter yang diacukan ke leher mangsa selain ditumbuk suspek.

"Akibat takut, mangsa menyerahkan semua wang terbabit dan barangan berharga yang lain sebelum suspek merampas kunci kereta mangsa dan melarikan kereta itu, manakala dua lagi suspek yang berada berhampiran mereka turut melarikan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 7:39 PM